mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sesi persidangan Dewan Rakyat petang ini, ceria apabila seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) selamba mendendangkan bait lagu Malam Bulan Dipagar Bintang dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan nyanyian Nana Sheme, Hantu atau Buaya.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan mencuri tumpuan ketika mempamerkan ‘bakat terpendam’ beliau semasa mengambil giliran dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025.
“Artis tempatan juga saya secara peribadi ingin (tegur) terutama yang mencipta lagu supaya kementerian berkenaan membuat tapisan kepada lagu-lagu, kadang-kadang seni kata tak sesuai terkeluar dari corong radio jadi siulan anak muda.
“Contohnya lagu apa tajuk itu, Sakit hatiku memikirkan kamu, Sakit mataku melihat wajahmu…. Ini orang bercinta biasa, tapi selepas itu lirik itu: Terpulanglah mahu jadi apa… Mahu jadi hantu… Mahu jadi buaya… Itu pun boleh dikeluarkan radio Malaysia.
“Budak ini, saya pergi ziarah orang susah pegawai saya cakap jadi bila saya melawat, mak dia tengah marah: “kamu ini tak pergi sekolah nanti susah tak ada pelajaran macam mak ayah nak jadi apa?
“Sekali anak dia jawab: Terpulanglah mahu jadi apa… Mahu jadi hantu…Mahu jadi buaya. Budak ini, esok (masuk) sekolah menengah habis sekolah, umur 18 tahun dia boleh mengundi saya takut dia jadi pengundi hantu,” katanya.
Sebagai perbandingan, Kalam seterusnya menyambung sesi itu dengan mendendangkan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang ketika membuat teguran kepada penggiat seni supaya mencipta lagu bermanfaat.
“Jadi cubalah buat lagu-lagu yang ada nilai nasihat macam lagu dulu-dulu Allahyarham Tan Sri P Ramlee berpuluh tahun tetapi masih sedap didengar.
“Malam bulan dipagar bintang… Makin indah jika dipandang… Bagai gadis beri senyuman pada bujang idaman.
“Orang dulu-dulu, dia cipta lagu tak ‘direct’ jadi hantu, biawak, tikus, ular senduk semua sebut, dia dulu berkias-kias tetapi kesannya bertahun-tahun,” katanya.
Terdahulu, Kalam turut menyentuh mengenai isu penggiat seni yang terpaksa membayar cukai konsert sebanyak 25 peratus berbanding penganjur luar negara, hanya dikenakan 10 peratus.
“Saya mendengar keluhan penggiat seni, saya jumpa artis dia juga seorang penganjur konsert, dia kata konsert dianjurkan tempatan cukainya 25 peratus maknanya kalau jualan tiket dapat RM1 juta dia bayar RM250,000 kepada kerajaan tetapi konsert luar 10 peratus saja kenapa berbeza?
“Artis luar pula, bayarannya lebih dan kadang-kadang persembahan mereka tidak menepati masyarakat Malaysia sehingga ditutup konsert mereka kerana melakukan aksi tidak molek di atas pentas, tahniah penguat kuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




