Hanya 1 wakil Malaysia ke final Terbuka Switzerland – Utusan Digital

PETALING JAYA: Malaysia hanya memiliki satu wakil di pentas final kejohanan badminton Terbuka Switzerland menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah manakala tiga lagi wakil negara terkandas di separuh akhir, hari ini.

Pasangan muda negara itu melakar kejutan dengan menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan kedua, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dalam aksi tiga set 10-21, 21-14, 21-16 untuk mara ke final kejohanan berstatus Super 300 buat kali pertama.

Kejayaan itu menyaksikan mereka akan berdepan cabaran pilihan ketiga dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva yang melakar kejutan dengan menyingkirkan pilihan utama dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-16, 21-14.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-30 dunia itu akan berdepan pasangan Bulgaria yang berada di kedudukan ke-14 dunia itu buat kali pertama bagi meraih kejuaraan pertama mereka tahun ini.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki yang juga pilihan utama kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan kemaraan selepas tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Jerman, Mark Lamfuss-Marvin Seidel 13-21, 21-13, 16-21.