sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Ketiadaan dua pemain utama Jose Cleylton dan Sukhrob Nurullaev yang meninggalkan pasukan memaksa ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag membuat percaturan sukar berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, petang esok.
Ini susulan pengumuman pihak pengurusan KDA FC pada 3 Januari lalu yang menyaksikan dua pemain import berkenaan serta seorang pemain tempatan iaitu Faiz Nasir disahkan berundur daripada pasukan.
Kesukaran itu menyebabkan Victor menukar percaturannya dengan mencari pengganti yang memiliki karektor dan berkeupayaan menyumbang kekuatan sesuai untuk memburu kemenangan di laman sendiri kali ini.
Ia selepas perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ditukar venue ke Stadium Darul Aman susulan kerja menaik taraf dan penambahbaikan fasiliti stadium di Kota Bharu itu.
“Sangat sukar untuk memuktamadkan kesebelasan utama pemain ketika ini disebabkan jumlah pemain utama berkurangan.
“Pada sesi latihan sejak dua hari lalu, kami hanya ada 14 pemain sahaja yang berlatih, ditambah pula Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah yang belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus akibat kecederaan.
“Namun, saya perlu memilih pemain yang memilik karektor terbaik dalam latihan untuk diberi peluang menggalas tugas pada aksi menentang KDN FC, Jumaat nanti.
“Jadi saya perlukan sedikit lagi masa untuk mencari pemain yang berkarektor itu, tidak kira sama ada mereka pemain muda atau senior kerana apa yang penting buat masa ini adalah tahap karektor yang mereka miliki untuk layak beraksi,” katanya selepas latihan pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




