Hanya 15 peratus kenderaan perdagangan patuh pemasangan SLD

Hanya 15 peratus kenderaan perdagangan patuh pemasangan SLD

Shah Alam: Pematuhan terhadap pemasangan peranti kawalan had laju automatik (SLD) dalam kalangan pemilik dan pengendali kenderaan perdagangan masih rendah, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata, setakat semalam, daripada keseluruhan 513,679 kenderaan perdagangan yang tertakluk kepada keperluan pemasangan SLD, hanya 15 peratus, iaitu 74,552 kenderaan telah membuat pemakluman pemasangan kepada JPJ.

Katanya, baki 85 peratus atau 439,127 kenderaan masih belum berbuat demikian, merangkumi 495,827 kenderaan barangan berat maksimum lebih 3,500 kilogram (kg) serta 17,852 buah bas yang mempunyai kapasiti membawa lebih lapan penumpang dengan berat maksimum lebih 5,000 kg.

“Bagi memperkukuh tahap pematuhan terhadap keperluan ini, JPJ turut melaksanakan Operasi Khas Penguatkuasaan SLD bermula 1 Okt 2025 hingga 12 Mac 2026.

“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 111,743 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 8,924 kenderaan dikenakan tindakan melalui Notis 114 (notis panggilan temu siasat) atas pelbagai kesalahan berkaitan pematuhan serta kefungsian SLD,” katanya pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri dan SLD di sini, hari ini.

Beliau berkata, bersempena Ops Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung selama dua minggu bermula hari ini, anggota di lapangan telah diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan Sijil Pengesahan SLD ke atas bas dan kenderaan perdagangan, selain melaksanakan pemeriksaan berkala lain.

Aedy Fadly berkata, perkara berkenaan sepatutnya dipatuhi oleh semua pengusaha terlibat memandangkan penguatkuasaannya telah diumumkan sejak 2020.

“Antara punca (pematuhan yang rendah) kerana ada beberapa syarikat yang mohon penangguhan pemasangan sebab tidak mempunyai local hardware, jadi terpaksa ke luar negara untuk mohon pemasangan, maka mereka perlukan sedikit masa untuk pasang, jadi ada beberapa isu yang kita boleh selesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, Ops Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan menumpukan sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan jalan raya.

Kesalahan tersebut ialah tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebihan muatan serta membawa muatan secara berbahaya.

“Sebanyak 288 lokasi hotspot di seluruh negara telah dikenal pasti dan kebanyakan tempat ini kita akan tempatkan anggota dan akan buat rondaan secara berkala dan saya telah arahkan kenderaan penguat kuasa JPJ untuk berada di jalan raya pada musim perayaan ini, tiada satu pun akan ada di pejabat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top