am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Tidak sampai sejam membayar wang ikat jamin bagi pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian, seorang ejen hartanah ditahan semula pihak polis bagi membantu siasatan kes sama di Tangkak.
Tertuduh, Yep Chee Hoe, 33, sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM50,000 ke dalam akaun yang didaftar atas nama sebuah syarikat miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Universiti, Parit Raja di sini, pada 13 Januari tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 454C (1) Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM150,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 serta syarat tambahan dan mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan, tidak boleh menganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes disebut semula pada 12 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Dua hari lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat namun mengaku tidak bersalah.
Tertuduh akan direman di Mahkamah Majistret Tangkak esok sebelum ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk pertuduhan sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




