'Hanya kaki saya kudung, tapi kudrat saya kuat'

'Hanya kaki saya kudung, tapi kudrat saya kuat'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keadaan diri yang kudung kaki kanan tidak dijadikan alasan oleh lelaki ini untuk meraih simpati demi mendapatkan bantuan.

Sebaliknya, Mohamad Aslan Baharin, 48, berikhtiar menyara keluarga dengan mencari rezeki sebagai penunggang p-hailing.

Kesungguhan Mohamad Aslan ketika bekerja dapat dilihat menerusi satu video yang menunjukkannya berjalan di dalam sebuah pasar raya dengan memakai tongkat sambil membawa pesanan pelanggan.

Menurutnya, dia tidak sedar video itu dirakam namun sudah dihubungi wanita yang merakamnya.

“Kalau tengok video itu, ia dirakam pada 16 Jun waktu saya baru ambil makanan dipesan pelanggan di sebuah pasar raya dekat Wangsa Maju.

“Saya okay saja, tak ada masalah walaupun terkejut bila tengok video itu tular.

“Benda baik, saya terima dan sejak video itu dimuat naik individu berkenaan, ramai yang berhubung dengan saya serta beri sumbangan.

“Banyak juga tawaran kerja diterima dan terima kasih saya ucapkan. Hanya Allah SWT saja dapat membalasnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menyingkap kisahnya, Mohamad Aslan berkata, dia dilahirkan normal namun bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas hilang keupayaan berjalan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 17 November 2005.

Katanya, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kajang, Selangor untuk pulang ke rumah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini sebelum motosikal ditunggang dirempuh kereta yang terbabas.

“Saya sedar selepas kemalangan…. namun tak sedar selama seminggu dipercayai selepas dibius dan menjalani pembedahan.

“Mulanya memang tak dapat terima bila sedar dan dapat tahu kaki kanan kudung tapi keluarga terutama isteri (Norzizah Khamis, 46) banyak beri semangat dan tak pernah anggap saya cacat.

“Daripada situ, saya dapat terima kekurangan diri,” katanya katanya yang juga aktif dalam sukan mendayung sejak dua tahun lalu.

Bapa seorang anak itu berkata, dia pernah bekerja sebagai pemandu peribadi sebelum terbabit dalam kemalangan.

Selepas kemalangan, dia tidak bekerja dan berehat agak lama sebelum mengambil keputusan menjadi penunggang p-haling sejak Julai tahun lalu.

“Saya pilih kerja itu (penunggang p-hailing) kerana memang minat hantar barang, suka keluar, tak gemar duduk setempat saja selain nak mengisi masa terluang.

“Lagipun, sebelum jadi pemandu peribadi, saya pernah kerja sebagai ‘despatch’ (penghantar barang) jadi ada pengalaman.

“Seronok kerana dapat berjalan merata tempat. Ada pelanggan yang okay, ada juga sebaliknya tapi lebih ramai yang faham.

“Kalau kena hantar pesanan ke rumah yang tiada lif pun, saya akan naik tangga kerana anggap anggap itu senaman… tak ada masalah pun kerana saya yang pilih jalan (kerja) itu,” katanya yang mahu terus bekerja selagi ada kudrat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top