Hanya kekejangan otot – Neymar

Hanya kekejangan otot – Neymar

Riyadh: Bintang Brazil, Neymar, tidak terlalu risau selepas terpaksa meninggalkan perlawanan Liga Juara-Juara Asia menentang Esteghlal semalam, selepas mengalami kecederaan yang disangka hanya kekejangan otot.

Penyerang Al-Hilal itu dilaporkan terpaksa berjalan keluar selepas hanya 30 minit beraksi sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Esteghlal.

Neymar, 32, berkata, doktor memberi amaran kemungkinan masalah otot selepas dia kembali daripada kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL).

Neymar kembali beraksi dua minggu lalu selepas berehat panjang sejak Oktober tahun lalu, apabila dia mengalami kecederaan semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan menentang Uruguay.

“Saya rasa seperti kekejangan, cuma sangat sakit!” ujar Neymar di Instagram.

“Saya akan jalani beberapa ujian dan berharap tiada apa yang serius.

“Ini normal selepas setahun, doktor dah beri amaran, jadi saya kena lebih berhati-hati dan mendapatkan lebih banyak minit permainan,” tambah Neymar.

Sejak berhijrah ke Al-Hilal dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran perpindahan sekitar €90 juta (RM466 juta) pada Ogos tahun lalu, Neymar hanya sempat bermain tujuh perlawanan bersama kelab Arab Saudi itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top