am@hmetro.com.my
Papar: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut selepas ditikam berulang kali oleh rakan sekerjanya dalam satu pertengkaran yang berpunca daripada soal duit RM20.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Khamis lalu, di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar,Bongawan, mangsa warga Filipina berusia 37 tahun, dikatakan bertanya mengenai duit RM20 yang diberi isterinya untuk membeli ikan dan roti.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima aduan awam daripada pemilik ladang sawit berkenaan mengatakan berlaku pergaduhan antara beberapa orang pekerja syarikat dan dipercayai seorang mangsa ditikam.
Katanya, punca pertengkaran adalah disebabkan si mati menanyakan kepada suspek berusia 26 tahun warga Indonesia mengenai wang RM20 yang diberikan oleh isteri mangsa kepada kepadanya untuk tujuan membeli ikan dan roti pada minggu lalu.
“Ini kerana menurut isteri mangsa, wang diberikan kepada suspek untuk membantunya membeli ikan dan roti, namun suspek tidak ada membeli barang berkenaan atas alasan kedai tutup.
“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek, namun belum membayar wang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pertengkaran berlaku kerana suspek tidak mengaku dan tidak mahu memulangkan wang yang diperoleh dari isteri mangsa.
“Ketika pertengkaran mulut berlaku, suspek bertindak masuk ke dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam mangsa berkali-kali di tubuh mangsa.
“Mangsa kemudian berusaha masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan berdarah untuk mengambil senjata bagi mempertahankan diri tetapi mangsa rebah di tanah lapang berhadapan dengan rumahnya.
“Mangsa kemudian meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya.
Kamaruddin berkata, susulan laporan kejadian, polis membuat tangkapan suspek warga Indonesia dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, di sini.
“Turut ditahan dua lelaki dua wanita dewasa warga Indonesia dan Filipina berusia 20 hingga 60 tahun.
“Polis juga menemui dan merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.
Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Papar untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




