Hanya makan minum, tiada ‘muafakat’ Umno, PAS di Terengganu, kata Ahmad Said

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Ahmad Said menyifatkan Terengganu sebagai ‘negeri paling yo-yo’. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, mendakwa tiada istilah “muafakat” di negeri berkenaan antara partinya dengan PAS, walaupun di peringkat pusat kedua-dua parti Melayu-Islam itu secara rasmi menjalinkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional sejak September 2019.

Ahmad berkata, perkara ini dapat dilihat apabila kerajaan Terengganu pimpinan PAS tidak bersikap adil terhadap wakil rakyat dari Umno, termasuk dirinya, yang dipinggirkan selepas kerajaan negeri langsung tidak mengagihkan peruntukan RM10 juta yang disampaikan kerajaan persekutuan.

“Negeri paling ‘yo-yo’ adalah Terengganu. Kita yakin dengan situasi semasa mereka (rakyat) akan kembali pada Umno, rakyat juga minta bila lagi hendak ubah kerajaan. Apatah lagi di Terengganu, saya katakan muafakat itu tidak berlaku, walaupun Terengganu satu-satunya 94% pengundi Melayu.

“Kita lihat PAS tidak berlaku adil terhadap Umno. Selepas MN, apa yang PAS lakukan adalah, bila kita uji kejujurannya, bila kerajaan pusat yang ada Umno dan PAS di dalamnya beri dana RM10 juta kepada negeri untuk wakil rakyat agihkan kepada rakyat, masa itu saya tidak terima apa-apa,” katanya.

Dalam forum bertajuk “bersahabat biar jujur” yang disiarkan Umno Online sempena Perhimpunan Agung Umno 2020, Ahmad berkata, ketika itu, wakil rakyat PAS memperoleh peruntukan RM350,000 untuk diagihkan kepada rakyat, manakala bagi kawasan yang PAS tewas, pegawai DUN menerima jumlah sama untuk diagihkan.

“Saya bising. Saya katakan kalau ini peruntukan daripada PAS, saya tidak bising, tetapi ini peruntukan dari pusat, iaitu Umno dan PAS ada sama. Kenapa kami tidak dapat? Setiausaha penerangan PAS yang juga Exco negeri katakan peruntukan ini bukan untuk wakil rakyat PAS dan Umno, tetapi hak rakyat.

“Kalaulah ini hak rakyat, kenapa tidak berikan sama adil, ada yang bagi bantuan sembunyi-sembunyi. Menteri besar ada datang jumpa saya, cakap pula soal pelantikan ketua kampung dan beberapa hari kemudian saya menerima surat dari pejabat daerah mengenai peruntukan Umno hanya RM45,000. Ini yang orang tidak tahu,” katanya.

Dakwa Ahmad, tiada apa-apa agenda dibawa dan tidak ada keputusan dicapai dalam mesyuarat MN antara Umno dan PAS di negeri berkenaan, sebaliknya hanyalah makan dan minum saja, sedangkan Terengganu ialah negeri pertama yang mengadakan perhimpunan MN selepas keputusan dicapai di peringkat pusat.

“Tidak pernah ikhlas, jujur. Exco PAS isytihar di Kemaman PAS akan pertahankan 20 kerusi yang dimenangi, selepas itu menteri besar pula di Dungun umumkan akan pertahankan enam daripada lapan kerusi Parlimen. Bincang tidak dibuat, apa-apa tidak dibuat, dia keluarkan kenyataan,” katanya.

Bulan lalu, Ahmad berkata, Umno Terengganu tidak akan memberi peluang kepada PAS dan PPBM yang mahu bertanding di semua kerusi Parlimen serta DUN negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tidak akan berlaku sebarang kerjasama dalam MN bersama PAS di negeri itu, termasuk tidak menyertai gabungan PN.