am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Meskipun sudah lima dekad berlalu, peristiwa diserang hendap pengganas komunis hingga hampir meragut nyawanya dan rakan-rakan ketika pertempuran masih segar dalam ingatan.
Perasaan sebak menyelubungi pesara tentera, Hashim Abd Rahman, 75, ketika menceritakan detik nyawa ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila tembakan komunis hanya sejengkal melepasi kepalanya.
Hashim berkata, kejadian berlaku dalam Operasi Tunis Jangka Panjang pada 1973 ketika dia bersama platunnya terdiri daripada sembilan anggota diarahkan untuk menjejaki pengganas komunis dalam hutan di Batu Kawa, Kuching, Sarawak.
“Sebaik tiba di kawasan yang didapati selamat, saya bersama rakan-rakan membersihkan kawasan sekitar sebelum memasang khemah untuk berlindung.
“Saya bersama dua rakan kemudian membuat rondaan di kawasan berdekatan dan kami menemui sebuah rumah kecil lalu mengesyaki ia adalah tempat perlindungan pengganas komunis.
“Beberapa meter dari rumah kecil itu terdapat kebun ditanam pelbagai ubi termasuk sengkuang selain pisang. Ia berkemungkinan ditanam oleh komunis sebagai sumber makanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Berek 12, di sini, baru-baru ini.
Katanya, ketika sedang makan ubi di kebun itu, secara tiba-tiba pengganas komunis yang berlindung di sebalik pokok melepaskan tembakan pada jarak 30 meter, namun tersasar ke pokok pisang.
“Dua rakan yang berada bersama, membalas semula tembakan itu dan berjaya menembak mati dua pengganas komunis, manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam hutan.
“Saya bernasib baik kerana tidak terkena tembakan itu, namun terkejut apabila diserang hendap oleh pengganas komunis. Alhamdulillah, nyawa saya masih panjang dan kalau tembakan itu tepat, tak tahulah apa yang berlaku,” katanya.
Bapa kepada 11 anak serta datuk 13 cucu ini berkata, berikutan itu dia mahu rakyat Malaysia terutama golongan muda menghargai pengorbanan anggota tentera terdahulu yang sanggup menggadai nyawa bertempur dengan komunis bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
“Ketika zaman darurat, pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi untuk melawan pengganas komunis di dalam hutan demi keselamatan negara.
“Kita tidak mahu negara ini sekali lagi dijajah sebagaimana berlaku di negara luar, hanya disebabkan mempunyai perbezaan pendapat selain tidak ada kesepaduan dalam kalangan rakyat.
“Hargailah keamanan yang ada di negara ini, jangan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir tidak baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




