mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Semua sekolah di Johor dan sekolah di tiga kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor dan satu di PPD WIlayah Persekutuan Kuala Lumpur akan ditutup esok susulan situasi jerebu yang masih berterusan di negara ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, sekolah di bawah empat PPD itu termasuk kawasan Bangsar Pudu, Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana.
Menurutnya, bagaimanapun sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak pula kekal beroperasi seperti biasa.
“Bagi Kuala Lumpur dan Selangor, sekolah di bawah PPD selain yang dinyatakan turut beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, status pengoperasian sekolah akan ditentukan berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada setiap hari.
Menurut KPM, Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) diarahkan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Fadhlina berkata, ibu bapa, penjaga dan guru diminta sentiasa mengikuti maklumat terkini berhubung pengoperasian sekolah menerusi platform rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan jabatan berkaitan.
“Ibu bapa dan warga sekolah dimohon merujuk makluman rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD masing-masing bagi sebarang perkembangan terkini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




