Hanya Tajuddin dan Mohd Salim yang mohon sertai UMNO semula – Ahmad Zahid

Hanya Tajuddin dan Mohd Salim yang mohon sertai UMNO semula – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Bentong: Hanya dua individu sahaja yang sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai semula UMNO setakat ini, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, permohonan yang diluluskan itu membabitkan dua bekas Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

“Saya menghormati usul daripada UMNO Bahagian Sembrong, namun perkara itu sudah dibawa oleh Menteri Besar Johor selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri ke Biro Politik untuk dibincangkan.

“Mana-mana individu yang ingin menyertai semula UMNO perlu menghantar surat rasmi kepada ibu pejabat parti.

“Saya juga ingin menjelaskan saya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menggantung, menyekat atau memberi amaran kepada mana-mana individu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keputusan berkaitan perkara itu akan dirujuk dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“UMNO sentiasa menjunjung tinggi sikap berbaik sangka dan semangat keterbukaan, seperti digariskan sejak zaman kepimpinan Allahyarham Datuk Onn Jaafar.

“Sekiranya ada yang pernah melakukan kesilapan, terpulang kepada MT. Kita harus mengelak daripada menilai berdasarkan fitnah atau sentimen politik sempit,” katanya.

Mengulas perkembangan di Sabah, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersetuju untuk meneruskan rundingan bagi memuktamadkan kerjasama politik antara parti terbabit.

“Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau pihak lain menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita perlu belajar daripada pengalaman PRN lalu yang menyaksikan pertandingan sehingga lapan penjuru yang mana situasi ini menyukarkan pengundi dan menjejaskan peluang kemenangan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama politik masa kini harus berpaksikan strategi dan realiti semasa, bukan semata-mata berdasarkan lambang parti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top