Bintang Indonesia, Charly Van Houten dan Pepeng sangat teruja, bukan sahaja kerana berpeluang bertemu peminat-peminat mereka di Kuala Lumpur, malah mereka sudah tidak sabar untuk beraksi dan berkongsi pentas bersama artis undangan istimewa seperti Restu Van Houten, Poey Stings, Angga Chandra dan Happy Asmara di Konsert Muzik Harmony Setia
Penampilan Charly di Kuala Lumpur bersama anggota asal dan bekas pemain gitar ST12, Pepeng, sudah pasti menjadi tumpuan peminat setia yang menantikan konsert yang bakal diadakan di Arena Megastar pada 7 Februari 2025, jam 8.30 malam.
Charly bakal menyampaikan lebih kurang 18 buah lagu, antaranya Biarkan Aku Jatuh Cinta, Jangan Pernah Berubah, Aku Masih Sayang, Saat Terakhir dan banyak lagi.
Para peminat juga berpeluang menyaksikan kolaborasi istimewa Charly bersama anak lelakinya, Restu Van Houten.
Penyanyi dan komposer muda berbakat besar ini telah berjaya mencipta beberapa lagu hits seperti Jangan Ada Kata Pisah, Saranghaeyo dan yang terbaru, Dan Ku.
Kehadiran Angga Chandra yang pada mulanya mencipta nama sebagai Youtuber sebelum menjadi penyanyi terkenal dengan lagu hitnya Sekecewa Itu juga sangat dinantikan.
Antara lagu yang bakal disampaikan di konsert nanti adalah seperti Sampai Tutup Usia, Semua Demi Kamu dan banyak lagi.
Turut memeriahkan pentas ialah Poey Stings, penyanyi Malaysia yang juga ahli kumpulan rock popular, Stings. Sebagai rakan baik Charly, Poey akan bergandingan dengan artis-artis lain untuk menjayakan malam istimewa ini.
Tidak ketinggalan, satu-satunya penyanyi wanita yang bakal menyinari malam konsert ialah Happy Asmara. Penyanyi, komposer dan pelakon muda ini semakin dikenali dengan bakat serba bolehnya.
Happy Asmara atau nama sebenarnya Heppy Rismanda Hendranata, terkenal dengan lagu viral Rungkad dan baru-baru ini melibatkan diri dalam dunia lakonan menerusi filem Ambyar Mbak Byar.
Selain berduet dengan Charly nanti, Happy Asmara juga akan menyanyikan lagu cover hits Malaysia dari Datuk Seri Siti Nurhaliza, Bukan Cinta Biasa dalam rendisi tersendiri dan lagu viral Ikan Dalam Kolam!
Dengan gabungan kesemua artis-artis tadi, sudah pasti konsert yang bakal berdurasi lebih dua jam ini akan memukau penonton! Dari vokal yang mantap hingga bakat luar biasa, disokong oleh persembahan visual dan pencahayaan yang hebat, Konsert Muzik Harmony Setia menjanjikan pengalaman yang memukau dan memuaskan hati peminat.