firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menjelang aksi separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan Sea menentang Thailand Isnin ini, skuad bawah 23 (B-23) meraih tonik terbaik apabila penyerang utama, Haqimi Azim akan menyertai kembali pasukan.
Haqimi, 22, sebelum ini kehilangan ayah tersayang apabila disahkan meninggal dunia pada Selasa lalu.
Susulan itu, penyerang muda negara itu pulang ke tanahair bagi memberi penghormatan terakhir buat ayahnya sekali gus terlepas aksi menentang Vietnam pada Khamis lalu.
Menurut pengendali skuad B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain, Haqimi dijangka akan menyertai pasukan bagi persiapan getir berdepan tuan rumah skuad Gajah Perang di Stadium Rajamangala nanti.
“Ada pemain cedera, ada digantung. Esok kami akan nilai siapa yang benar-benar pulih dan boleh berdepan Thailand. Tapi untuk Haqimi, kami jangka dia kembali menyertai persiapan separuh akhir,” katanya.
Walaupun terus dihimpit isu kecederaan dan pilihan pemain yang terhad, Nafuzi menegaskan situasi itu sudah menjadi ‘rutin pahit’ yang terpaksa ditelan pasukannya sepanjang kejohanan ini.
“Isu-isu ini memang dah jadi rutin untuk kami. Sampai ke separuh akhir pun kami masih berdepan situasi yang sama. Tapi kemanisannya datang bila kami layak,” katanya.
Terdahulu, perjuangan skuad negara ‘bernyawa’ kembali di pentas Sukan Sea selepas aksi babitkan Indonesia dan Myanmar dalam Kumpulan C berakhir skuad Garuda Muda menang 3-1.
Biarpun menang, namun Indonesia gagal mara ekoran kekurangan jaringan yang menyaksikan Malaysia muncul pasukan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan untuk menggenggam tiket terakhir ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




