Harap keadilan sewajarnya buat Faisal Halim – CEO Selangor FC

Harap keadilan sewajarnya buat Faisal Halim – CEO Selangor FC

SELANGOR FC berharap agar Faisal Halim mendapat keadilan sewajarnya susulan kes simbahan asid ke atas pemain sensasi skuad Gergasi Merah itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action – NFA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, meskipun dengan keputusan tersebut, pihak kelab tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap pihak berkuasa.

Malah, katanya, kelab akan terus memberikan sokongan kepada pemain itu untuk meneruskan karier dalam dunia bola sepak.

“Kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut mengenai isu ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi pihak kelab, kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada Faisal.

“Kami turut berharap beliau akan mendapat keadilan sewajarnya, Insya-ALLAH. Kami juga sentiasa mendoakan agar Faisal kembali kepada prestasi terbaik demi kepentingan kelab dan skuad kebangsaan,” katanya.

Perkembangan kes Faisal, yang terkenal dengan julukan Mickey, disahkan oleh peguam yang mewakili pemain itu, Nik Zarith Nik Moustpha, dalam satu sidang media di Kajang pada Khamis.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA selepas siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membuahkan sebarang hasil.

Johan menambah, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklum balas lanjut berhubung perkembangan itu kerana percaya peguam yang mewakili Faisal telah memberikan penjelasan terperinci.

“Seperti yang sedia maklum, satu sidang media telah diadakan oleh peguam Faisal mengenai perkembangan terkini siasatan kes simbahan asid pada 5 Mei tahun lalu.

“Malah kami percaya, peguam telah memberikan penjelasan sepenuhnya dan maklumat yang mencukupi dalam sidang media tersebut,” ujarnya.

Untuk rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei 2024.

Scroll to Top