am@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Mangsa penipuan pelaburan membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion meminta pelabur lain yang terpedaya tampil dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ahli perniagaan terbabit juga kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan menerusi Op Fibre yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Pengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR, Shah Abdul Malek berkata, penipuan itu membabitkan pelabur warga British bersama 10 pelabur dari Malaysia sudah mengemukakan aduan rasmi kepada SPRM terhadap ahli perniagaan terbabit kerana menipu mereka lebih RM66 juta melalui skim penipuan yang didalangi oleh ahli perniagaan terbabit dan sindiketnya.
Menurutnya, ratusan individu dan syarikat korporat termasuk agensi kerajaan menjadi mangsa skim pelaburan itu.
“Rangkaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion, termasuk pelaburan oleh seorang usahawan dari UK, Lee Rodger Meiklejohn, berjumlah hampir RM60 juta.
“Berdasarkan rekod, didapati beberapa agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan termasuk sebuah persatuan kebajikan anak-anak yatim serta sebuah institut penyelidikan Islam mungkinmenjadi mangsa skim penipuan yang dikaitkan dengan individu terbabit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Shah berkata, ramai mangsa diperdaya melalui ejen ahli perniagaan itu yang menyamar sebagai kakitangan bank dengan menawarkan skim pelaburan runcit yang kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti serta ‘dijamin’ oleh insurans.
“Ada juga yang tertipu kerana beberapa ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama syarikat terbabit.
“Agensi kerajaan pula dipercayai terpedaya disebabkan pembabitan seorang bekas pegawai kanan persekutuan yang bertindak sebagai proksi kepada Datuk terbabit,” katanya.
Sementara itu, Lee Meiklejohn berkata, beliau menjadi mangsa kegiatan penipuan antara Oktober 2010 dan April 2011.
“Walaupun membuat banyak susulan dan mengemukakan dokumen sokongan yang kukuh, kesnya tidak menunjukkan kemajuan ketara dan berharap kes ini dapat diselesaikan segera.
“Saya menjadi mangsa penipuan suspek di antara Oktober 2010 hingga April 2011 dengan pelaburan £10 juta bersamaan (RM60 juta) selepas diperkenalkan oleh seorang broker di Edinburgh, UK pada Ogos 2010.
“Ketika cuba meyakinkan untuk membuat pelaburan, suspek menggalakkan saya melabur dalam syarikat dengan menggunakan beberapa maklumat yang kemudian diketahui palsu dan representasi palsu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




