Harap netizen lebih rasional, hormat beri pandangan – Nazrief

Harap netizen lebih rasional, hormat beri pandangan – Nazrief

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Nazrief Nazri meminta netizen untuk bersikap lebih rasional dan saling menghormati apabila ingin memberi pandangan mengenai pemilihan pakaian isterinya, Aizatul Aqma yang dikatakan terlalu seksi.

Nazrief ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun mengambil maklum dengan segala teguran dan akan memilih berhati-hati untuk memuat naik kandungan di media sosial.

“Saya tak marah, malah membaca semua komen yang positif dan negatif. Cuma saya harap orang boleh lebih rasional dan hormat sikit bila beri pandangan.

“Apa pun, benda ini bagi saya satu pengajaran. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati bila nak muat naik apa-apa kandungan di media sosial.

“Saya tetap akan jadi diri sendiri, tapi dalam masa yang sama, saya akan lebih peka. Terima kasih pada yang masih sokong dan faham,” katanya.

Menurut Nazrief, dia tidak berniat untuk mencari perhatian atau timbulkan kontroversi apabila gambar percutian mereka di Bali, Indonesia menjadi tular.

“Saya tak sangka gambar percutian itu boleh jadi viral sampai macam ini. Saya cuma nak kongsi momen indah dengan isteri, bukan nak cari perhatian atau timbulkan kontroversi.

“Tapi saya faham, bila kita dalam dunia hiburan ini, apa saja yang kita buat pasti akan jadi bualan,” katanya.

Terdahulu segelintir netizen meluahkan rasa kurang senang melihat pakaian digayakan Aizatul ketika mereka bercuti di Bali.

Malah, ada segelintir yang mendakwa Nazrief tidak menasihati isterinya mengenai adab pemakaian sebagai wanita Islam.

Pakaian yang digayakan Aizatul dikatakan terlalu seksi apabila bahagian dadanya terdedah sehingga menampakkan lurah.

Tidak hanya itu, terdapat juga foto yang memperlihatkan pakaian Aizatul mendedahkan bahagian belakang tubuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top