Deejay kelab malam dikenali sebagai DJ Kidd dipercayai tampil membuat kenyataan terbuka mengenai status hubungannya dengan pelakon Emma Maembong menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads, sebentar tadi.
Menerusi kemas kini tersebut, DJ Kidd memaklumkan dia tidak lagi bersama ‘pasangannya’ sekali gus menjawab persoalan yang sering diajukan oleh orang ramai mengenai hubungan mereka.
Biarpun tidak menyebut sebarang nama, orang ramai mula berspekulasi individu yang dimaksudkan adalah Emma kerana sebelum ini, DJ Kidd rapat dengan aktres drama bersiri Kerana Cinta Itu Dusta yang sedang hangat bersiaran di TV3.
“Salam satu Malaysia. Di sini saya nak memaklumkan, di mana saja saya berada, orang sibuk tanya saya, di manakah pasangan saya.
“Saya berbesar hati ingin memberitahu yang saya tidak lagi bersama beliau. Jadi saya harap tiada lagi persoalan selepas ini.
“Dan saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama siapa jua beliau bersama. Amin,” tulisnya bersama hashtag #mamaktakkanpadam.
ARTIKEL BERKAITAN: DJ Kidd Jawab Emma Maembong Ada Dalam Hati
Perkongsian tersebut sekali gus mengundang perhatian ramai memandangkan hubungan antara DJ Kidd dan Emma sebelum ini sering menjadi bualan dalam kalangan peminat serta netizen.
Screenshot
Sebelum ini, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail pernah mengakui dia berkawan rapat dengan DJ Kidd dan berada dalam fasa mengenali hati budi lelaki itu.
Selesa menggelarkan hubungan mereka sebagai teman rapat dan tidak mengiyakan atau menidakkan dakwaan sedang bercinta, hubungan mereka menjadi perhatian apabila Emma dilihat beberapa kali hadir ke kelab malam bagi menyaksikan DJ Kidd membuat persembahan sebagai deejay.
ARTIKEL BERKAITAN: “Biarlah Dia Nak Support Bakal Suami Spin” – DJ Kidd Pertahan Emma Maembong
Emma menjelaskan kehadirannya ke lokasi tersebut adalah untuk menyokong kerjaya lelaki itu.
Malah sebelum ini, pasangan itu turut mencetuskan spekulasi apabila dilihat menghadiri beberapa acara bersama serta berkongsi foto mesra di media sosial.
Setakat ini, Emma masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkongsian terbaharu yang dimuat naik oleh DJ Kidd tersebut.




