Harapan baharu gencatan senjata Gaza, rundingan Israel-Hamas di Qatar masih berjalan

Harapan baharu gencatan senjata Gaza, rundingan Israel-Hamas di Qatar masih berjalan

Doha/Israel/Gaza: Israel pada Selasa memaklumkan jurang antara Israel dan Hamas boleh dirapatkan pada rundingan damai di Qatar, walaupun ia mungkin mengambil masa lebih beberapa hari untuk mencapai perjanjian membebaskan tebusan dan menghentikan pertempuran.

Delegasi dari Israel dan Hamas sudah berada di Qatar sejak Ahad lalu dalam usaha baharu untuk mencapai persetujuan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump minggu lalu memaklumkan beliau mempunyai harapan terhadap cadangan baharu yang disokong AS bagi mencapai perjanjian.

Trump sudah bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin yang mana Netanyahu mengemukakan cadangan yang ditentang oleh semua kumpulan utama Palestin untuk memindahkan sebahagian penduduk Gaza ke luar negara.

Pemimpin Israel itu juga menyerahkan surat mencalonkan Trump untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan.

Jurucakap Qatar, Majed Al Ansari pada Selasa berkata, pengantara dari Qatar dan Mesir belum membincangkan perjanjian gencatan senjata muktamad tetapi masih berusaha mencari persetujuan asas yang boleh membawa kepada rundingan yang lebih terperinci.

“Rundingan sebenar belum bermula tetapi kami sedang berbincang dengan kedua-dua pihak mengenai kerangka asas itu.

“Kedua-dua pihak masih berada di Doha. Itu satu petanda baik,” kata Al Ansari.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada wartawan pada Isnin berkata, wakil kepada Trump, Steve Witkoff yang memainkan peranan penting dalam merangka cadangan gencatan senjata terkini akan ke Doha minggu ini untuk menyertai perbincangan di sana.

Cadangan itu merangkumi pembebasan tebusan secara berperingkat, pengunduran tentera Israel dari sebahagian kawasan di Gaza dan perbincangan untuk menamatkan perang sepenuhnya.

Tiada kenyataan baharu daripada Hamas atau sumber Palestin setakat Selasa.

Namun, sumber Palestin pada Isnin berkata, perkembangan perbincangan terhalang akibat sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menteri Israel, Zeev Elkin, yang juga ahli kabinet keselamatan Netanyahu, berkata terdapat ‘peluang besar’ untuk mencapai persetujuan gencatan senjata.

“Hamas mahu mengubah beberapa perkara utama dan ia tidak mudah tetapi ada kemajuan,” katanya kepada penyiar Israel, Kan pada Selasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top