am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Terima kasih atas keprihatinan dan sokongan serta bantuan daripada orang ramai kepada isteri untuk mendapatkan rawatan dengan secepat mungkin,” kata suami pesakit barah, Mohd Asri Ali, 39.
Isterinya, Nur Hafizah Omar, 37, yang didiagnos barah pangkal rahim tahap tiga selepas melakukan pemeriksaan di Hospital Sultan Ismail (HSI) awal tahun lalu, tidak dapat meneruskan rawatan atas faktor kesempitan hidup.
Mohd Asri berkata, pelbagai pihak termasuk warganet memberi sokongan moral kepada keluarganya bagi menghadapi pelbagai ujian dalam hidup.
Menurutnya, malah ada yang menyumbang wang dalam usaha meringankan beban keluarganya serta membantu menampung kos ulang-alik isteri dan anaknya ke hospital.
Katanya, sehubungan itu dia dan isterinya bercadang untuk mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh terdekat.
“Ramai yang khuatir kesihatan isteri apabila dia terpaksa menghentikan rawatan atas kekangan kewangan.
“Malah mereka turut mendoakan kesihatan isteri serta anak sulung yang juga terlantar selepas patah kaki kiri, rahang serta mengalami keretakan tulang dagu.
“Kami amat bersyukur atas doa, keprihatinan ramai, hanya Allah mampu membalas jasa insan yang berhati murni,” katanya.
Sementara itu, Nur Hafizah berkata dia dan keluarga akan menggunakan sumbangan berkenaan dengan sebaik mungkin.
“Fokus utama kami adalah kesihatan saya selain berharap anak sulung berusia 14 tahun juga menjalani rawatan sesuai bagi memastikan keadaannya pulih dan dapat kembali ke sekolah.
“Saya berharap diberi kesembuhan apabila menerima rawatan sesuai di hospital berikutan tanggungjawab saya besar terutama bagi membesarkan anak-anak yang masih kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan barangan disalurkan Pasaraya Econsave Cash And Carry di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tiram di sini yang diserahkan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.
Mas Imran berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan berbentuk barangan dapur, lampin pakai buang, susu, barangan elektrik bernilai RM1,300 kepada keluarga itu.
Semalam akhbar ini melaporkan kebimbangan seorang ibu lima anak menghidap barah pangkal rahim tahap tiga tidak dapat menjalani pembedahan histerektomi bagi membuang rahim selain kemoterapi bagi memastikan kanser tidak merebak ke organ lain.
Bagaimanapun dia tiada pilihan melainkan memakan ubat kampung atas faktor kewangan memandangkan suaminya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan hanya kira-kira RM800 sebulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd