Harapan cerah Pearly kembali di Masters Malaysia

Harapan cerah Pearly kembali di Masters Malaysia

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan memberi bayangan positif untuk kembali beraksi di Masters Malaysia 2026 selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan belakang.

Gandingan M Thinaah itu kini memasuki fasa akhir pemulihan dan semakin hampir mencapai tahap terbaik menjelang kejohanan bertaraf Super 500 dari 19 hingga 24 Mei ini.

“Saya rasa sepanjang tiga minggu ini dapat rawatan yang bagus dan fokus pada kecederaan. Sekarang memang dah tak sakit, semuanya semakin baik.

“Sekarang cuma naikkan prestasi secara berperingkat,” katanya ketika ditemui media selepas sesi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Sebelum ini, Pearly terpaksa menarik diri daripada skuad Piala Uber 2026 di Forum Horsens, Denmark selepas mengalami kecederaan belakang berulang ketika Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, April lalu.

Kecederaan itu turut menghidupkan semula kebimbangan lama apabila dia pernah berdepan masalah serius di bahagian sama beberapa tahun lalu.

“Memang bahagian belakang, ada koyakan otot. Dulu saya pernah cedera teruk, jadi kali ini saya lebih berhati-hati.

“Tak perlu pembedahan, cuma koyakan otot dan sedikit gangguan ligamen. Sekarang saya dah pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, Pearly turut lega melihat kebangkitan pasangan muda negara sepanjang kempen Piala Uber kali ini.

“Bagus bila ada lebih banyak pasangan yang boleh bersaing. Bukan mudah nak ada gandingan berkualiti.

“Persaingan sihat ini penting untuk semua pemain terus tolak had dan naikkan prestasi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top