Harapan menggunung untuk PIMM

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mahu meneliti dasar dan pendekatan yang bakal diambil Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) bagi memastikan penubuhannya untuk meningkatkan pencapaian industri muzik tidak tersasar.

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid, berkata industri muzik tempatan berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak dahulu lagi, apatah lagi, ketika negara dilanda penularan pandemik COVID-19 hingga ada penggiat muzik bergelar legenda mengangkat ‘bendera putih’.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid atas keprihatinan ditunjukkan kepada pemuzik tanah air selepas hampir 40 tahun menanti.

“Sebagai pemegang amanah sama ada secara rasmi atau tidak, malah turut menyumbang ‘input’ dalam cadangan penubuhan PIMM sejak hampir tiga tahun tahun lalu, kami berharap fokus perbadanan itu dicapai.

“Soal siapa yang bakal dilantik menerajui PIMM tidak menjadi keutamaan kami. Sebaliknya, kami mahu tahu dasar yang bakal dilaksanakan,” katanya kepada BH Online.

Pada 19 Julai lalu, Kabinet meluluskan penubuhan PIMM sebagai badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan industri muzik, buat pertama kali dalam sejarah.

Ayob berkata, kementerian sudah arif dengan permasalahan dalam industri muzik tempatan termasuk perkara yang selama ini kerajaan terlepas pandang.

“IRAMA amat berharap penubuhan PIMM akan menjadi pemacu industri, bukannya pesaing kepada industri.

“Kami amat berharap barisan pengurusan PIMM yang dilantik dapat menggauli semua sektor industri muzik dan menekankan pentingnya aspek nasionalisme, kesaksamaan dan ketelusan yang sentiasa menjadi tunggak perkhidmatan,” katanya.

Ayob berkata, wakil sektor muzik dari Sabah dan Sarawak tidak harus dipinggirkan sebaliknya wajar dilantik dalam ahli jawatankuasa PIMM bagi ‘merakyatkan’ muzik untuk Malaysia.

“PIMM juga harus lebih mesra dengan persatuan, kelab dan komuniti yang aktif mewakili industri muzik. Ini termasuk yang dipandang sebagai persatuan profesional, korporat dan syarikat gergasi atau persatuan miskin dan marhain.

“IRAMA sedar mengharap pada kesempurnaan idealisme adalah mustahil. Namun, mencegah PIMM menjadi sarang kartel dalam bentuk digitalisasi moden adalah cabaran yang lebih besar bagi penggiat industri masa kini dan akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd