Harga bahan mentah meningkat tapi kuih tetap jadi pilihan

Harga bahan mentah meningkat tapi kuih tetap jadi pilihan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemeriahan Aidilfitri sememangnya tidak lengkap tanpa kehadiran pelbagai kuih raya di atas meja.

Walaupun kos bahan mentah semakin meningkat, penjualan kuih raya dilihat masih mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Tinjauan terhadap beberapa pengusaha kuih raya mendapati tempahan mula diterima lebih awal dan semakin rancak apabila memasuki minggu kedua Ramadan.

Menurut pengusaha Icha Cookies, Nur Khairunnisa Mahdir, 25, permintaan terhadap kuih raya masih pada tahap yang sangat baik setiap tahun, khususnya apabila pelanggan mula membuat tempahan sebelum Ramadan lagi.

“Biasanya tempahan mula meningkat kira-kira sebulan sebelum Ramadan terutama daripada pelanggan tetap, tetapi apabila masuk minggu kedua Ramadan, tempahan menjadi lebih rancak kerana ramai yang mula membuat persiapan akhir untuk hari raya,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Nisa turut mengakui terdapat sedikit kenaikan harga kuih raya pada tahun ini berikutan peningkatan kos bahan mentah seperti mentega, coklat dan kekacang yang digunakan dalam pembuatan biskut.

“Bahan seperti mentega, coklat dan kacang adalah bahan utama, terutama bagi biskut premium. Apabila harga bahan mentah meningkat, kos pengeluaran juga turut meningkat, namun kami cuba memastikan harga masih berpatutan untuk pelanggan,” katanya.

Antara biskut raya yang paling popular setiap tahun ialah almond London, tart nanas serta biskut coklat berasaskan kacang yang sering menjadi pilihan pelanggannya kerana rasanya yang klasik dan sudah sinonim dengan suasana Aidilfitri.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Ramlah Abdul Rahman, 63, berkata permintaan biskut raya pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Dua minggu sebelum Ramadan dah ada orang yang membuat tempahan, tetapi jumlah tempahan akan naik mendadak bermula dua minggu sebelum raya,” katanya.

Namun menurut Ramlah, peningkatan harga barang mentah seperti mentega dan tepung gandum juga berlaku seiring dengan peningkatan permintaan untuk kuih raya.

“Memang ada sedikit kenaikan harga sekitar RM2 hingga RM3 kerana kebanyakan harga bahan mentah seperti mentega dan tepung gandum meningkat setiap tahun, tetapi kami masih cuba sedaya mungkin untuk mengekalkan harga kuih yang kami jual” katanya.

Tambahnya, antara biskut raya yang paling mendapat sambutan pelanggan termasuk biskut kacang mazola, tart nanas dan semperit, selain biskut seperti Makmur, almond London dan suji Brunei.

“Pelanggan biasanya memilih biskut-biskut ini kerana rasanya yang sedap dan manis, cair di mulut serta harganya yang masih mampu milik,” katanya.

Kedua-dua pengusaha turut memaklumkan tempahan kini banyak dilakukan secara dalam talian melalui platform seperti WhatsApp dan media sosial selain pelanggan tetap, sekali gus memudahkan pelanggan mendapatkan kuih raya kegemaran mereka walaupun ketika berada di luar kawasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top