Harga beras tinggi, yogurt jadi pilihan rakyat Jepun

Harga beras tinggi, yogurt jadi pilihan rakyat Jepun
Pengambilan nasi makin kurang di Jepun akibat harga beras terus tinggi di negara berkenaan.

Pengambilan nasi makin kurang di Jepun akibat harga beras terus tinggi di negara berkenaan.

TOKYO – Nasi yang biasanya menjadi makanan utama rakyat Jepun kini semakin kurang dihidangkan di meja makan kerana harga sumber makanan itu mahal buat penduduk negara berkenaan.

Menurut laporan The Mainichi, walaupun ramai menjangka rakyat Jepun akan beralih kepada makanan ruji lain seperti roti atau mi, namun yogurt menjadi pilihan utama dalam pemakanan harian mereka.

Firma penyelidikan Tokyo, Lifescape Marketing Co pada April lalu mengeluarkan data tinjauan melibatkan 214 isi rumah sekitar Tokyo menunjukkan hampir 60 peratus responden mengurangkan pengambilan nasi antara Januari hingga Mac berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi keluarga yang mengurangkan hidangan nasi melebihi 10 peratus, pengambilan yogurt meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala mereka mengurangkan nasi kurang daripada 10 peratus dan mengambil yogurt 1.5 peratus lebih kerap.

Dalam kalangan mereka, pengambilan yogurt pada waktu sarapan meningkat sebanyak 4.9 peratus jauh mengatasi makanan lain, sebaliknya hidangan seperti nasi turun 5.1 peratus, bebola nasi turun 4.0 peratus, nasi bersama telur mentah turun 3.9 peratus dan sup miso turun 3.3 peratus.

Profesor Madya Akiko Furutani dari Kolej Junior Aikoku Gakuen Tokyo berkata, trend diet bebas gluten dan peningkatan keperluan protein menyumbang kepada populariti yogurt yang mudah didapati dan cepat disediakan.

Jelas beliau, ramai kini memilih yogurt atau bijirin berbanding nasi dan sup miso untuk sarapan atas faktor masa serta harga beras tinggi.

Bagaimanapun, Furutani menasihatkan pengambilan karbohidrat seperti nasi pada waktu pagi lebih baik untuk memberi tenaga sepanjang hari berbanding makan berat pada waktu malam yang boleh mengganggu tidur.

Scroll to Top