Harga dedak naik lagi, penternak terus terhimpit

Harga dedak naik lagi, penternak terus terhimpit

SEREMBAN: Golongan penternak semakin terhimpit berikutan harga dedak makanan ternakan meningkat sejak cuti Aidilfitri lalu.

Seorang pengusaha ternakan ayam kampung di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Oun Mohamad, 62, berkata, harga dedak diperolehnya kini mencecah RM2.80 sekilogram minggu lalu berbanding RM2.60 sebelum Aidilfitri.

“Kenaikan harga dedak ini nampaknya naik sedikit demi sedikit berbanding RM2 sekilogram yang pernah kami terima sebelum ini. Kerajaan perlu mengambil tindakan segera jika tidak kesannya terus menghimpit penternak kecil-kecilan seperti saya.

“Penternak besar mungkin tidak terkesan sangat dengan kenaikan harga dedak ini kerana mereka mengimport makanan ternakan tersebut dengan jumlah yang besar dan untuk kegunaan mereka sendiri sahaja.

“Jika alasan kerajaan harga bahan mentah juga semakin meningkat, mereka mesti fi­kirkan cara untuk meningkatkan tanaman dan pengeluaran bahan mentah seperti jagung bijirin dan rumput napier dalam negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, seorang pe­ngusaha ternakan lembu dan kambing di Linggi, Port Dickson, Safian Ahmad, 35, berkata, harga dedak untuk ternakannya juga meningkat.

Menurutnya, harga dedak keluaran sebuah syarikat di utara kini meningkat RM2.50 bagi setiap satu beg 50 kilogram menjadikan harga jua­lannya kini mencecah sehingga RM75 berbanding sekitar RM60 sebelum ini.

“Golongan penternak sudah tentu kecewa dalam isu kenaikan harga dedak, ketika harga daging kerajaan boleh kawal supaya tidak melambung namun punca mengapa ia jadi begitu kerajaan masih tidak dapat menyelesaikannya.

“Harga makanan ternakan yang semakin meningkat menyebabkan penternak terpaksa menanggung peningkatan kos operasi, itu isunya sekarang,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top