
Harga diesel di Vietnam kini melambung.-Agensi
HANOI – Harga diesel di Vietnam meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak permulaan konflik di Asia Barat, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan pada Rabu.
Harga diesel melonjak kira-kira 105 peratus sejak 26 Februari, dua hari sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Kerajaan menaikkan harga diesel kepada 39,660 dong (RM 5.96) seliter pada 25 Mac, berbanding 19,270 dong (RM2.90) pada Februari.
Selain itu, harga petrol 95-oktan turut naik hampir 68 peratus dalam tempoh sama, daripada 20,150 (RM3.03) dong kepada 33,840 dong (RM5.09).
Lonjakan harga minyak sejak permulaan konflik menyebabkan kos bahan api meningkat mendadak dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bekalan di peringkat global.
Vietnam baru-baru ini memohon bantuan bahan api daripada beberapa negara termasuk Qatar, Kuwait, Algeria dan Jepun, dan pada 23 Mac menandatangani perjanjian dengan Rusia mengenai pengeluaran minyak dan gas di kedua-dua negara.
Bagi mengurangkan tekanan terhadap rakyat, Kementerian Kewangan Vietnam pada 24 Mac mencadangkan pengurangan separuh cukai perlindungan alam sekitar ke atas petrol dan diesel.
Seorang penduduk Hanoi, Nguyen Van Chi berkata, beliau tidak menggunakan trak miliknya dalam dua minggu lalu dan sebaliknya memilih untuk menunggang basikal kerana kos diesel yang terlalu tinggi. -AFP
Ringkasan AI
- Harga diesel di Vietnam meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak permulaan konflik di Asia Barat
- Harga diesel melonjak kira-kira 105 peratus sejak akhir Februari
- Kerajaan Vietnam menaikkan harga diesel menjadi 39,660 dong seliter pada 25 Mac
- Harga petrol 95-oktan naik hampir 68 peratus dalam tempoh sama
- Vietnam memohon bantuan bahan api dari beberapa negara dan menandatangani perjanjian dengan Rusia



