Harga emas melambung, kedai emas tetap diserbu wanita

Harga emas melambung, kedai emas tetap diserbu wanita

am@hmetro.com.my

Changlun: Meskipun harga emas terus meningkat naik melepasi RM430 segram namun orang ramai masih tetap menyerbu kedai emas semata-mata untuk membeli perhiasan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Tinjauan wartawan mendapati kenaikan harga emas 916 sejak beberapa bulan lalu tidak menghalang pembeli tempatan berbelanja pada Ramadan.

Rata-rata golongan wanita menganggap pembeli emas bukan sekadar hiasan tubuh tetapi satu bentuk pelaburan jangka panjang menguntungkan.

Seorang pembeli emas, Habsah Md Zain, 50, berkata, dia membeli jongkong emas atau gold bar pada harga RM27,000 sebagai simpanan masa depan berikutan bimbang harga emas akan terus meningkat.

Katanya, dia dan ahli keluarganya sanggup menyimpan duit semata-mata untuk membeli emas yang dianggap sebagai aset menguntungkan.

Seorang lagi pelanggan, Nornadia Mohd Johan, 20-an berkata, dia membeli cincin emas dengan menggunakan wang simpanan anaknya berusia lebih setahun untuk dipakai anaknya pada hari raya ini.

Katanya, dia memilih untuk membeli emas untuk anaknya disebabkan harga emas kini makin meningkat dan tidak rugi jika dia membelinya sekarang.

Sementara itu Ketua Pengurus Operasi Syarikat Empayar Emas YL, Elee Salmi Ishak, 49, berkata, pelanggan bukan saja membeli perhiasan emas ketika ini tetapi turut membeli jongkong emas atau `gold bar’ untuk simpanan mereka.

Katanya, pengguna menganggap pembelian emas sebagai aset susulan harga emas yang meningkat setiap hari.

“Hari ini harga emas 916 mencecah RM433 satu gram termasuk upah tetapi ramai pelanggan yang membuat pembelian selain menempah untuk dipakai pada Hari Raya ini.

“Emas boleh dijual semula jika keadaan mendesak dan hasilnya agak lumayan ketika harga melambung tinggi,” katanya ketika ditemui di premisnya di Changlun, semalam.

Sementara itu Ketua Pengasas Empayar Emas YL, Nurul Haida Ab Halim, 41, mengakui ada kes wanita mempunyai ramai anak terpaksa menjual emas perhiasan disimpannya semata-mata untuk membeli barangan keperluan Hari Raya.

Katanya, wanita berusia sekitar 40-an itu bertemu dengannya semalam dan menyatakan hasrat menjual emas miliknya demi untuk menggembirakan anak-anak.

“Malah ada yang hendak menjual emas semata-mata untuk membeli susu anak serta membayar bil rawatan di hospital,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top