am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Harga lada merah di pasar awam di sekitar bandar raya ini meningkat sehingga RM24 sekilogram berikutan permintaan tinggi menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan tidak lama lagi.
Peniaga sayur di Pasar Awam Taman Perling, Hendri Sapriadi, 55, berkata, harga lada merah yang dijual sebelum ini adalah sekitar RM18 sekilogram.
“Setakat ini kita tak ada masalah dari segi bekalan yang diperoleh daripada pembekal di Batu Pahat, cuma harganya meningkat sedikit disebabkan permintaan tinggi termasuk oleh peniaga Bazar Ramadan.
“Selain lada merah, sayur lain yang mencatatkan peningkatan harga adalah kacang panjang antara RM9 hingga RM10 sekilogram berbanding hanya RM6 hingga RM7 sekilogram sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati bekalan bahan mentah lain seperti telur ayam, ayam segar dan santan yang banyak digunakan pada musim perayaan mencukupi.
Harga telur ayam gred AA dijual pada 62 sen sebiji manakala gred A (56 sen), gred B (52 sen) dan gred C (49 sen) sebiji.
Santan pula dijual pada harga RM16 sekilogram dan RM8 bagi 500 gram.
Bagi ayam segar, peniaga yang mendapat bekalan daripada pembekal pada harga antara RM8.70 hingga RM9 sekilogram menjualnya pada pelanggan pada harga RM10 sekilogram.
Tinjauan di pasar itu juga mendapati peniaga mematuhi arahan pihak berkuasa dengan memaparkan tanda harga pada barangan jualan.
Bagi suri rumah, Soliah Rafiee, 62, dia mengambil kesempatan membuat persediaan awal membeli barang keperluan asas bagi menyambut Ramadan.
“Meskipun masih terlalu awal tapi saya datang ke pasar ini untuk beli barang mentah seperti ayam, santan dan sayur-sayuran.
“Setakat ini bekalan bahan mentah semuanya mencukupi dan harganya juga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya dijangka melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2026 peringkat negeri, Jumaat ini.
Katanya, setakat ini anggota penguat kuasanya sentiasa melakukan pemantauan harga barangan di pasar awam, pasar raya dan premis perniagaan di seluruh negeri secara berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




