anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dadah bukan lagi dianggap sumber kekayaan kepada penjenayah apabila pelbagai spesies ‘kura-kura emas’ kini menjadi dagangan komoditi haram berharga bagi geng penyeludup.
Harga kura-kura spesies Aldabra Giant yang boleh mencecah sehingga setengah juta ringgit seekor selain kura-kura Ploughshare yang mampu mencapai harga RM200,000 di pasaran gelap menarik minat rangkaian sindiket penyeludupan haiwan liar antarabangsa.
Sumber Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia berkata, tawaran harga luar biasa oleh golongan peminat haiwan eksotik menyebabkan sindiket berusaha menyeludup keluar haiwan ini dari benua Afrika, kepulauan Madagascar, India, Sri Lanka dan beberapa negara lain.
“Perdagangan haram kura-kura air tawar semakin serius apabila ia membabitkan industri haram berskala besar dengan nilai urus niaga mencecahkan puluhan jutaan ringgit setahun.
“Rangkaian sindiket yang terbabit dengan kegiatan perdagangan haiwan liar dilindungi ini semakin bercambah dan mewujudkan kebimbangan di peringkat global.
“Kewujudan sindiket ini menyebabkan rantaian terhadap isu kepupusan dan populasi spesis kura-kura ini,” katanya.
Susulan itu Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar (WJC) pernah melancarkan Operasi Naga bagi membendung jenayah pemerdagangan haiwan liar ini.
“Walaupun terdapat rampasan ketara dari segi kuantiti reptilia ini oleh pihak berkuasa namun sindiket sentiasa mencari jalan untuk meneruskan kegiatan.
“Ia membabitkan perancangan rapi dan isu rasuah. Sindiket mempunyai rangkaian operasi dan rantaian bekalan dari negara asal reptilia berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketika ini kura-kura Black spotted turt les, kura-kura Indian star dan kura-kura radiated tortoises tiga spesies kura-kura paling popular diperdagangkan secara haram di Asia.
“Semakin cantik corak cengkerang kura-kura berkenaan, besar saiznya, kesukaran untuk diperolehi selain usia reptilia berkenaan…maka harganya akan menjadi semakin mahal.
“Ada juga kepercayaan aneh mendakwa usia kura-kura (spesies African spurred sulcata ) yang mencapai ratusan tahun adalah petua ‘mistik’ bagi pemiliknya memilik usia panjang,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan risikan, sindiket menggunakan khidmat beberapa ]keldai upahan’ bagi menyeludup masuk haiwan berkenaan melalui penerbangan komersil dari luar negara.
“Biasanya kura-kura terancam ini disembunyikan di dalam bagasi membabitkan bilangan besar. Agak pelik apabila suspek berjaya melepasi pemeriksaan mesin pengimbas x-ray di lapangan terbang berdasarkan tangkapan dilakukan sebelum ini,” katanya.
Julai lalu, Perhilitan berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan kura-kura terbesar di Asia Tenggara yang beroperasi di Subang Jaya dan Ampang, Selangor.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi membenteras jenayah pemerdagangan haiwan liar dilindungi menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawai Wildlife Crime Unit (WCU) Perhilitan Celescoriano Razond turut disertai anggota cawangan risik Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




