Kuala Lumpur : Harga minyak mentah dijangka meningkat sehingga paras AS$90 hingga AS$100 setong berikutan gangguan yang berlaku di loji Ras Tanura milik syarikat minyak kerajaan Arab Saudi, Saudi Aramco, menurut penganalisis.
Kemudahan itu ditutup sementara, semalam selepas serangan dron, dalam persekitaran serangan balas Tehran di seluruh rantau ini sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, tempoh penutupan loji itu akan menjadi faktor utama yang menentukan pergerakan harga minyak mentah dalam tempoh yang terdekat.
Beliau berkata, sekiranya loji itu kembali beroperasi dalam masa 24 hingga 48 jam, harga minyak dijangka menyusut manakala penangguhan operasi sehingga seminggu boleh mengehadkan bekalan minyak.
“Pengoperasian semula dalam tempoh 24 hingga 48 jam juga hanya menyebabkan gangguan kecil terhadap operasi memandangkan stok penampan di terminal Ju’aymah akan membolehkan eksport minyak diteruskan, dengan premium risiko semasa kira-kira AS$7 setong dijangka susut, menyebabkan harga minyak Brent kembali kepada julat AS$74 hingga AS$76.
“Operasi yang dimulakan semula dalam masa seminggu akan mengehadkan inventori bahan api, dan ‘crack spreads’ atau perbezaan harga antara minyak mentah dengan produk petroleum siap tapis akan meningkat berikutan pembeli mendapatkan sumber alternatif.
“Harga minyak mentah Brent pula terus meningkat sekitar AS$82 hingga AS$88 berikutan kebimbangan mengenai penghantaran melalui Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek menegaskan bahawa gangguan yang berlanjutan sehingga sebulan boleh mendorong harga minyak mencecah paras AS$95 hingga AS$100 berikutan kekangan bekalan yang semakin meningkat.
“Gangguan ini boleh memberi kesan struktur yang serius, menekan Arab Saudi untuk mengutamakan keperluan bahan api domestik dan mengehadkan eksport.
“Pada masa sama, situasi ‘backwardation’ (harga semasa lebih tinggi daripada harga akan datang) semakin meningkat berikutan permintaan semasa melebihi bekalan sedia ada, yang mendorong minyak mentah Brent mencecah paras AS$95 hingga AS$100 dan menyebabkan pengguna minyak utama di Asia menggunakan rizab strategik,” katanya.
Menurutnya, gangguan yang berlarutan melebihi sebulan akan bersifat sistemik atau menjejaskan pasaran minyak global dengan meluas.
“Memandangkan loji Ras Tanura tidak beroperasi dan laluan melalui Selat Hormuz adalah terhad, simpanan minyak akan cepat penuh sehingga menyebabkan penutupan sementara di medan minyak seperti Ghawar.
“Harga minyak Brent pula berupaya melonjak pada julat AS$120 hingga AS$140, menyebabkan permintaan berkurangan secara mendadak dan melarat menjadi krisis keselamatan tenaga global,” katanya.
Ahli ekonomi Al-Madinah International University Profesor Emeritus, Dr Barjoyai Bardai berkata, gangguan bekalan yang berpanjangan selama beberapa minggu akan menyebabkan kejutan bekalan yang lebih besar.
Katanya, harga minyak mentah Brent dijangka meningkat dengan ketara dan berpotensi mendorong pengeluaran minyak yang terkawal daripada rizab minyak strategik.
“Tempoh gangguan ini adalah antara faktor terbesar yang mempengaruhi pergerakan harga minyak dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa penutupan loji Ras Tanura adalah faktor kritikal dalam menentukan pergerakan harga minyak.
“Ras Tanura adalah antara kilang penapisan terbesar di Timur Tengah yang memproses kira-kira 550,000 tong sehari, dan berperanan sebagai terminal eksport utama bagi minyak mentah Saudi dengan infrastruktur penyimpanan bersepadu dan kemudahan pemuatan air dalam.
“Berikutan peranan strategiknya, penutupan sementara juga akan terus menimbulkan kebimbangan ke atas gangguan eksport, meningkatkan premium risiko akibat kemungkinan berlaku serangan susulan dan kebimbangan terhadap keselamatan penghantaran minyak di Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ketegangan itu berterusan dan gangguan juga berlaku lebih lama, harga minyak akan meningkat dan mungkin mencapai atau melebihi AS$90 setong.
“Jangkaan premium risiko kekal tinggi walaupun kilang penapisan kembali beroperasi segera berikutan risiko konflik telah meningkat dengan ketara,” katanya.
Selain itu, Barjoyai berkata, psikologi pasaran akan mendominasi pergerakan harga dalam masa terdekat.
“Insiden kecil juga boleh menyebabkan reaksi harga yang besar memandangkan peniaga berpendapat sekiranya loji Ras Tanura boleh menjadi sasaran, kemudahan lain juga boleh menjadi sasaran.
“Hanya dengan sentimen ini sahaja berpotensi menaikkan harga Brent mencecah paras AS$90 ke atas walaupun tanpa gangguan fizikal yang ketara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




