HARGA minyak jatuh di bawah AS$100 setong selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu sebagai pertukaran kepada kebenaran laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Setakat artikel ini ditulis, minyak mentah Brent susut 13.20 peratus kepada AS$94.85, manakala West Texas Intermediate merosot 14.58 peratus kepada AS$96.48 setong.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, kepada Bernama
“Apa yang kita lihat sekarang bukan perubahan struktur, tetapi lebih kepada peleraian mekanikal premium risiko geopolitik yang sebelum ini telah dimasukkan dalam harga berdasarkan senario paling buruk.
“Penurunan di bawah AS$100 sebahagian besarnya disebabkan pelarasan kedudukan pelabur, dan dalam keadaan dagangan Asia yang agak tipis, peleraian ini boleh berlaku secara berlebihan.
“Dalam jangka masa terdekat, harga minyak boleh kekal di bawah AS$100, namun paras sokongan masih rapuh. Tanpa pengurangan ketegangan yang jelas di sekitar Selat Hormuz, risiko lonjakan harga masih tinggi,” katanya.
Menurut Innes, gencatan senjata dua minggu itu hanya memberi ruang sementara kepada pasaran, tetapi tidak menyelesaikan isu utama kerana ketiadaan kemajuan nyata dalam membuka semula laluan selat boleh menyebabkan harga naik semula.
Beliau turut menambah bahawa risiko dari sudut bekalan masih wujud akibat kerosakan infrastruktur yang mungkin mengambil masa berbulan untuk dibaiki. Pada masa sama, jaminan jelas bahawa selat tersebut kekal dibuka untuk laluan kapal boleh membantu menurunkan harga dengan lebih lanjut. Dalam keadaan itu, harga berpotensi turun ke sekitar AS$90 setong jika ketegangan benar-benar reda.
Hasil yang lebih positif bergantung kepada kesinambungan usaha diplomatik, namun perkara ini masih tidak pasti. Sementara itu, pasaran juga belum sepenuhnya mengambil kira kemungkinan selat tersebut kekal dibuka.
Tambah beliau lagi, faktor politik dalaman Amerika Syarikat menjelang pilihan raya pertengahan penggal mungkin mengehadkan konflik berpanjangan, memandangkan negara itu merupakan pengeluar minyak terbesar dunia.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata gencatan senjata dua minggu itu akan membolehkan kapal melalui Selat Hormuz, yang menyalurkan sekitar 20 peratus bekalan minyak global.
Sekiranya ketegangan terus berkurang, ia akan membuka laluan kepada usaha pembinaan semula kemudahan minyak dan gas, sekali gus membantu mengurangkan kekangan bekalan.
“Pemulihan akan berlaku secara berperingkat. Apa yang pasaran mahukan ialah kepastian bahawa konflik akan berakhir dan aktiviti perniagaan boleh disambung semula.
“Walaupun begitu, keadaan masih di peringkat awal dan sangat dinamik. Oleh itu, harga minyak mentah dijangka kekal tidak menentu dalam jangka masa terdekat,” katanya.



