Harga minyak melonjak melebihi AS$100 setong

Harga minyak melonjak melebihi AS0 setong
Harga minyak melonjak melebihi AS0 setong

Sebuah kapal tangki minyak mentah berdaftar di Liberia berlabuh di luar pesisir pantai Long Beach pada 11 April 2026. Foto AFP

PENANDA aras minyak Amerika Syarikat (AS) kembali melonjak melepasi paras AS$100 setong pada Isnin selepas rundingan damai antara AS dan Iran gagal mencapai sebarang kemajuan, selain arahan Presiden AS, Donald Trump untuk melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Sejurus dagangan dibuka, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Mei meningkat kira-kira lapan peratus kepada AS$104.50 setong, manakala penanda aras antarabangsa Brent crude bagi penghantaran Jun naik tujuh peratus kepada AS$102 setong.

Harga minyak sebelum ini merosot dan pasaran saham melonjak minggu lalu selepas Trump bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu yang dimediasi oleh Pakistan. Namun, ketidakstabilan perjanjian itu segera terserlah apabila Israel terus melancarkan serangan ke atas Lebanon, sementara Selat Hormuz kekal tertutup secara efektif.

Rundingan di Islamabad bagi mencapai perjanjian jangka panjang, yang diketuai oleh Naib Presiden AS, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, gagal menghasilkan sebarang kesepakatan.

Trump kemudian mengumumkan bahawa beliau mengarahkan sekatan sendiri ke atas Selat Hormuz, yang menurut pihak tentera AS akan bermula Isnin dan hanya melibatkan kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran.

Pasaran global terus berdepan ketidaktentuan sejak tercetusnya konflik pada 28 Februari lalu, dengan Iran secara efektif menyekat Selat Hormuz — laluan penting yang menyalurkan kira-kira satu perlima daripada keseluruhan bekalan minyak dan gas dunia. – AFP

Scroll to Top