Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan isu kenaikan harga minyak global, sedangkan situasi itu berpunca daripada krisis antarabangsa di luar kawalan negara.
Dunia politik perlu terkawal
Menurut beliau, dalam keadaan dunia berdepan ketegangan geopolitik khususnya konflik di Asia Barat, masih ada pihak yang menyalahkan kerajaan tanpa memahami realiti sebenar.
“Ada orang guna kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh, minyak tersekat. Bukan salah kita, tetapi masih ada lagi beberapa orang pembangkang maki hamun kita dalam keadaan sekarang.
“Dunia politik ini perlu terkawal dan sepatutnya semua pakat mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir.

Kerajaan masih kekalkan harga bahan api pada kadar terkawal
Beliau menjelaskan bahawa konflik melibatkan Iran serta serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron telah menjejaskan laluan minyak dan gas termasuk di Selat Hormuz, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia meningkat.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan masih mengekalkan harga bahan api pada kadar terkawal bagi melindungi rakyat, walaupun banyak negara lain telah menaikkan harga.

Artikel lain: Konflik Asia Barat: Presiden India hubungi PM Anwar, sepakat seru redakan ketegangan
Kerajaan turut mengadakan mesyuarat khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta perbincangan dengan Petronas bagi memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi, dengan jangkaan mampu bertahan sehingga Mei ini.
Selain itu, Malaysia juga berhubung dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi serta pemimpin ASEAN bagi meredakan ketegangan, sambil menegaskan pendirian negara yang bebas, berkecuali dan menolak sebarang bentuk keganasan.
Sumber: Bernama




