Harga MSM diunjur RM3,000 setiap tan tahun ini

Harga MSM diunjur RM3,000 setiap tan tahun ini

KUALA LUMPUR – Kenanga Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mungkin didagangkan dalam julat sekitar RM3,800 satu tan metrik dalam prospek minyak makan yang ketat untuk 2024.

Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata, dengan permintaan padanan bekalan atau mungkin merosot ke dalam defisit kecil, paras inventori diunjurkan berada di bawah paras permulaan pada akhir tahun 2024.

“Isu utama ialah permintaan untuk minyak makan yang disokong terutamanya oleh penduduk dan pertumbuhan pendapatan dijangka terus berkembang pada tiga hingga empat peratus tahun ke tahun tetapi bekalan terjejas oleh peraturan yang ketat, cuaca tidak menentu dan malah disebabkan gangguan geopolitik.

“Khusus untuk minyak sawit, Indonesia, pengeluar dan juga pengguna tertinggi, nampaknya bersedia untuk menguruskan eksport sehingga Hari Raya Aidilfitri pada April depan manakala India, pengimport besar minyak sawit berkemungkinan mengekalkan tahap inventori yang tinggi sementara menunggu pilihan raya pada separuh pertama tahun ini.

“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan,” katanya.

Dalam pada itu, RHB Investment Bank Bhd turut mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dengan jangkaan persekitaran harga MSM yang lebih tinggi pada separuh pertama 2024.

Bank pelaburan itu berkata ia percaya keluaran lebih rendah secara bermusim dan kesan El Nino dijangka menurunkan pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang.

“Walaupun pengeluaran dijangka berkurangan pada beberapa bulan akan datang, permintaan pasaran eksport mungkin kembali pulih dengan menjangkakan sambutan Aidilfitri dan aktiviti mengisi semula stok kerana paras stok akan semakin berkurangan.

“Jangkaan permintaan yang lebih kukuh dalam pasaran eksport boleh menyebabkan stok minyak sawit Malaysia jatuh di bawah paras dua juta tan menjelang bulan depan sekali gus memberikan rangsangan kepada harga MSM,” tambahnya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata walaupun trend inventori menurun, harga minyak sawit kekal dalam jajaran kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Memandangkan bulan bekerja yang lebih pendek pada Februari, kami menjangkakan inventori akan turun di bawah paras psikologi dua juta tan menjelang akhir bulan Februari. Kami menetapkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan. – BERNAMA