Harga petrol BUDI95 kekal, kuota bulanan jadi 200 liter

Harga petrol BUDI95 kekal, kuota bulanan jadi 200 liter

maiamalina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, susulan konflik di Asia Barat yang masih belum reda.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan kelayakan BUDI95 terpaksa dinilai semula dan kuota subsidi bulanan ditetapkan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.

“Kita tahu bahawa BUDI95 telah memberi banyak manfaat kepada rakyat, namun kita terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan.

“Kerajaan mendapati purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, makna majoriti rakyat guna dalam 100 liter dan hampir 90 peratus rakyat guna kurang 200 liter, maka tidak begitu terjejas.

“Oleh itu, kerajaan buat penyelarasan kelayakan BUDI95 (kuota subsidi) daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara rasmi di televisyen tempatan hari ini.

Anwar turut berkata, langkah itu dibuat secara teliti dan berhemah serta bersifat sementara sehingga keadaan bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih.

“Tetapi ketika ini belum ada tanda-tanda pulih lagi. Maka untuk kurangkan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada kadar RM1.99 seliter,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, had siling petrol bagi sektor e-hailing dan pekerja gig dikekalkan sehingga 800 liter, mengambil kira tanggungjawab, pekerjaan serta urusan kumpulan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top