
Semua perkhidmatan pengangkutan awam di Islamabad ditawarkan secara percuma selama 30 hari bermula Sabtu. Foto: AFP
ISLAMABAD – Pakistan mengumumkan perkhidmatan pengangkutan awam milik kerajaan itu diberikan secara percuma selama sebulan bermula Sabtu melibatkan kawasan ibu negara dan wilayah paling padat penduduknya.
Langkah itu diumumkan selepas tercetus protes jalanan serta barisan panjang di stesen minyak berikutan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 42.7 peratus kepada 485 rupee (RM7.01) seliter, susulan kenaikan mendadak harga bahan api.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, bagaimanapun menarik balik sebahagian keputusan tersebut dengan menurunkan harga petrol kepada 378 rupee (RM5.41) seliter melalui pengurangan levi.
Namun, harga diesel kekal tinggi pada 520 rupee (RM7.53) seliter selepas kenaikan 54.9 peratus.
“Pengurangan ini akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya selama sebulan.
“Saya tidak akan berehat sehingga kehidupan rakyat kembali normal,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, lapor AFP.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi berkata, kerajaan akan menanggung kos kira-kira 350 juta rupee (RM5.07 juta) bagi menyediakan pengangkutan awam percuma di Islamabad selama 30 hari.
Di wilayah Punjab, Ketua Menteri, Maryam Nawaz Sharif turut memansuhkan tambang pengangkutan awam serta memperkenalkan subsidi bersasar kepada pengusaha trak dan bas.
Beliau turut menggesa pengendali supaya tidak memindahkan kenaikan kos kepada penumpang.
Kerajaan wilayah Sindh di Karachi pula mengumumkan subsidi kepada penunggang motosikal dan petani kecil bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api.
Kenaikan harga bahan api itu dikaitkan dengan konflik di Asia Barat susulan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global dan perkapalan di Selat Hormuz.
Dalam usaha mengurangkan penggunaan bahan api, kerajaan Pakistan turut melaksanakan langkah penjimatan termasuk memendekkan minggu bekerja sektor awam kepada empat hari, melanjutkan cuti sekolah serta memindahkan sebahagian sesi pembelajaran ke dalam talian.
Menurut data Bank Dunia, kira-kira 25 peratus daripada 240 juta penduduk Pakistan hidup dalam kemiskinan, sekali gus menjadikan kenaikan kos sara hidup isu kritikal di negara itu.


