Harga runcit RON97, diesel turun 8 sen, RON95 kekal

Harga runcit RON97,  diesel turun 8 sen, RON95 kekal

Sri Ayu Kartika Amri

kartika@mediaprima.com.my

**Kuala Lumpur:** Harga runcit RON95 kekal tidak berubah pada RM2.05 seliter, manakala harga RON97 dan diesel bagi Semenanjung masing-masing diturunkan lapan sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Mei 2025.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit petrol RON97 turun sebanyak lapan sen seliter iaitu daripada RM3.18 kepada RM3.10 seliter, manakala harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter.

MOF berkata, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut turun sebanyak lapan sen iaitu daripada RM2.88 kepada RM2.80 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” katanya.

MOF berkata, harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top