khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harga sayur dan makanan laut seperti ikan, udang dan ketam mengalami peningkatan sehingga 40 peratus disebabkan faktor hujan serta banjir yang berlaku di negara ini.
Peniaga, Suhaili Mohd Ali, 52, berkata, beberapa jenis sayur dijual mengalami peningkatan antaranya kangkung, bayam, kacang panjang, tomato, timun jepun dan kacang buncis.
“Sayur yang biasa murah seperti kangkung dan bayam telah naik dua kali ganda. Biasa saya jual antara RM3 ke RM4, sekarang naik ke RM7 ke RM8 sekilogram.
“Kacang panjang pula sebelum ini saya jual RM6 tapi sekarang harganya RM10. Tomato juga mengalami kenaikan sedikit. Harga sebelum ini RM3 tetapi sekarang RM6.
“Manakala timun jepun saya jual sebelum ini RM4, sekarang naik RM10 dan kacang buncis juga mengalami kenaikan dari RM8 ke RM16 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit hari ini.
Dia berkata, kenaikan ini bermula sejak dua minggu lalu dan berkemungkinan ia disebabkan oleh faktor hujan, banjir dan masalah pengangkutan daripada pembekal.
Seorang lagi peniaga, Nizam Abd Razak, 40, pula menyatakan makanan laut yang dijualnya mengalami kenaikan 30 hingga 40 peratus dan ia mungkin berlaku sehingga bulan Februari tahun hadapan.
Katanya, antara makanan laut mengalami peningkatan adalah seperti ikan kembong, sardin, jenahak, udang dan ketam.
“Sebelum ini saya jual ikan kembong RM12 tetapi sekarang RM16 sekilogram. Ikan sardin sebelum ini dijual pada harga RM10, tetapi kini RM14 sekilogram.
“Ikan jenahak dulu RM24 tetapi sekarang RM30. Udang RM22 sebelum ini tetapi sekarang RM26 sekilogram dan ketam juga sama mengalami kenaikan. Sebelum ini kita jual RM23 tetapi sekarang RM27,” katanya.
Dia berkata, kenaikan makanan laut ini juga biasa berlaku pada penghujung tahun disebabkan musim hujan dan banjir.
Peniaga, Fazran Amran, 28, juga mengakui beberapa jenis makanan laut yang dijualnya mengalami kenaikan.
“Contohnya ikan kerisi kebiasaannya kita jual RM12 tetapi sekarang naik ke RM14 sekilogram manakala ikan tenggiri yang sebelum ini dijual pada harga RM30 tetapi kini RM32 sekilogram.
“Selain itu, ikan sardin dan kembong juga mengalami kenaikan mendadak kerana ikan ini mempunyai banyak permintaan.
“Ikan sardin sebelum ini dijual RM8 kini naik RM12 dan ikan kembong pula RM17 tetapi sekarang ia dijual RM20 sekilogram,” katanya.
Katanya, jenis makanan laut yang dijualnya juga kini berkurangan berbanding sebelum ini disebabkan faktor cuaca.
“Sebelum ini saya jual dalam 15 jenis tetapi sekarang tinggal 10 jenis sahaja disebabkan sukar untuk mendapatkan stok. Saya jangkakan perkara ini sehingga bulan Februari tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




