rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa sayur-sayuran menunjukkan penurunan harga sejak seminggu lalu terutama yang dibawa masuk daripada negara jiran, Thailand.
Antara sayur yang menunjukkan perbezaan harga ketara ialah sawi yang dijual pada harga RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.
Pengerusi Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands Datuk Chai Kok Lim berkata, penurunan harga berlaku susulan banjir yang semakin pulih di negara jiran membolehkan bekalan sayur-sayuran diimport semula ke negara ini.
Katanya, kemasukan tanpa kawalan itu menyebabkan berlaku lambakan dan dijual dengan harga lebih rendah.
“Jika sebelum ini bawang merah dijual pada harga RM4 sekilogram tetapi sekarang harga turun sehingga RM1 sekilogram (kg) saja.
“Keadaan itu menyukarkan pekebun tempatan yang terpaksa menjual bawang pada harga rendah sedangkan kos mencecah RM3 per kg.
“Begitu juga dengan sayur-sayuran, pekebun tiada pilihan selain menjualnya walaupun harga terlalu rendah kerana selepas tuai perlu terus jual, jika tidak sayur akan tua atau rosak dan terpaksa dibuang,” katanya kepada Harian Metro.
Chai berkata, bagaimanapun bagi beberapa jenis sayur-sayuran berlaku sedikit kenaikan disebabkan faktor cuaca.
Namun katanya, keadaan cuaca hujan dan banjir yang melanda beberapa negeri itu tidak menjejaskan bekalan sayur buat masa ini.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro di pasar Seksyen 6 Shah Alam dan beberapa pasar raya sekitar mendapati terdapat kenaikan dan penurunan harga bagi sayur-sayuran tertentu bergantung kepada harga daripada pemborong.
Antara harga sayuran yang dilihat menurun adalah kacang bendi yang dijual pada harga RM7 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini, manakala sawi RM5 berbanding RM8 dan timun RM3 berbanding RM5.
Harga kacang panjang pula dilihat meningkat kepada RM12 sekilogram berbanding RM10 pada minggu sebelumnya, terung panjang dari RM8 kepada RM9 dan cili merah dari RM16 kepada RM20.
Peniaga, Shahlan Baharim, 70, berkata harga sesetengah sayur termasuk import meningkat 20 peratus sejak seminggu lalu disebabkan faktor cuaca ketika ini.
Katanya, peniaga sudah biasa dengan situasi harga sayur tidak menentu yang akan berlaku bukan sahaja sewaktu banjir tetapi juga ketika sayur mula mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
“Kita (peniaga) menjual sayur-sayuran bergantung kepada harga daripada pemborong, jika dapat pada harga tinggi jadi peniaga juga terpaksa naikkan harga jualan begitu juga jika dapat sayur dengan harga murah maka kita turunkan harga.
“Sejak seminggu lalu kebanyakan sayur dah naik harga tapi masih ada sayur yang kekal dan turun harga seperti bawang holand dan kentang kekal harga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



