am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Walaupun subsidi telur ayam ditamatkan sejak 1 Ogos lalu, tinjauan di beberapa kedai makan dan warung sekitar bandar raya ini mendapati harga bekalan itu masih kekal pada paras dianggap mampu beli oleh kebanyakan peniaga makanan.
Peniaga makanan, Irfan Diazam Yusof, 44 berkata, dia menggunakan 10 papan telur ayam gred B dalam tempoh seminggu untuk berniaga nasi lemak serta bihun goreng dan membelinya pada harga RM12 sepapan pada minggu lalu.
“Setakat ini bekalan telur mudah dicari, harga pun tak banyak berubah. Kalau tidak silap, dua bulan lalu pernah harga telur gred B RM10.80 sepapan tapi minggu lepas beli harga RM12.
“Kami peniaga berharap sangat harga telur tak naik. Kalau ada kenaikan, mungkin saya kena kurangkan kuantiti dulu, ambil separuh (telur ayam) daripada biasa. Tapi setakat ini, masih sama, semua gred mudah dicari,” katanya yang berniaga di Flat Tasek Pandan di sini, hari ini.
Sementara itu, peniaga sarapan pagi, Khatijah Ali, 45 berkata, dia tidak menyedari subsidi telur ayam telah ditamatkan kerana barangan itu dibeli pada harga biasa.
Katanya, harga sepapan telur ayam gred B sekitar RM10.90 hingga RM12 masih munasabah walaupun tanpa subsidi, asalkan kualitinya kekal baik dan bekalan mudah dicari.
“Kita pernah berdepan krisis ‘kehilangan’ telur ayam tiga tahun lalu. Ketika itu harga sepapan telur ayam mencecah RM18, memang menyusahkan, bukan sahaja isi rumah tetapi peniaga yang tersepit dengan kos.
“Saya beli telur ayam setiap hari sekitar tujuh papan untuk bahan asas masakan dan roti canai. Harapnya tiada lonjakan harga mendadak dalam masa terdekat, demi kelangsungan perniagaan dan harga makanan kekal berpatutan untuk pelanggan,” katanya.
Khatijah memberitahu ayam juga masih dibelinya pada harga di bawah RM9 sekilogram, selain mencadangkan agar pemantauan harga bahan mentah lain turut diberi perhatian seperti halia dan cili kering yang kerap berubah harga.
“Halia minggu lepas sampai RM17 sekilo, minggu ini turun RM8, serai pun lebih kurang sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd