Harga ubat di Malaysia meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus manakala peranti perubatan mencatat kenaikan lebih tinggi sehingga 100 peratus susulan konflik di Asia Barat, namun bekalan kekal stabil sehingga Jun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kos itu dipengaruhi gangguan rantaian bekalan global termasuk faktor logistik dan pengangkutan.
“Memang terdapat peningkatan kos kira-kira 30 hingga 40 peratus bagi ubat-ubatan manakala peranti perubatan ada yang meningkat antara 50 hingga 100 peratus,” katanya selepas Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di Putrajaya, hari ini.
Dzulkefly berkata tekanan harga itu turut berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik yang memberi kesan kepada penghantaran serta kos import bahan mentah dan produk siap.
Justeru katanya, kerajaan kini meneliti beberapa pendekatan termasuk mekanisme pelarasan kos bagi mengurangkan beban yang ditanggung pemain industri kesihatan.
“Antara yang dibincangkan termasuk mekanisme cost pass-through (pemindahan kos) dan kadar yang sesuai, sama ada sepenuhnya atau sebahagian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bekalan ubat di negara ini masih berada pada tahap mencukupi untuk tempoh terdekat.
“Bagi tempoh terdekat ini sehingga penghujung Jun, kita masih mempunyai stok yang stabil dan mencukupi. Kita bukan hanya ada stockpile kerajaan, tetapi industri juga mempunyai bekalan mereka.
“Keseluruhannya, bekalan ubat seperti insulin dan vaksin yang merupakan keperluan penting mesti dikongsi. Insya-Allah tidak akan ada yang ketandusan ataupun kekurangan,” katanya.
Dzulkefly berkata kementerian akan terus memantau situasi semasa dan mengambil langkah mitigasi bagi memastikan bekalan ubat serta peranti perubatan tidak terjejas walaupun berdepan tekanan harga global.



