Hargai sumbangan ahli akademik

Hargai sumbangan ahli akademik

suliati@hmetro.com.my

Shah Alam: Sambutan Hari Akademia perlu dilaksanakan lebih berprestij dan setaraf dengan Hari Guru bagi menghargai jasa serta pengorbanan pensyarah dan pemikir di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula tahun hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendidikan tinggi negara sudah berkembang dan bilangan keseluruhan ahli akademik termasuk pensyarah dan profesor di negara ini yang mengajar di universiti, politeknik dan kolej komuniti lebih 100,000 orang.

Katanya sudah sampai masanya Hari Akademia ini tidak hanya dilaksanakan setiap tahun tetapi lebih berprestij supaya ia lebih bermakna.

“Tenaga pengajar baik di IPT awam dan swasta sangat penting kepada dunia pendidikan Malaysia dan juga kepada pembangunan negara.

“Jasa dan sumbangan mereka ini perlu disantuni dan dihargai supaya masyarakat secara keseluruhannya tahu siapakah golongan yang selama ini bekerja di belakang tabir, menabur bakti untuk pendidikan dan pembangunan negara.

“Jadi, mulai tahun hadapan saya ingin melihat satu program besar dan pengisian yang bermakna, dihadiri ribuan dalam satu dewan besar dan mengiktiraf pencapaian pendidik kita selama ini, “katanya pada Majlis perasmian sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2024 dan penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI 2024) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Hari Akademia disambut pada 5 Oktober setiap tahun bermula 2019 itu bertujuan menghargai jasa, keilmuan dan pemikiran terkehadapan pendidik di peringkat pendidikan tinggi.

Sambutan Bulan Akademia ini adalah manifestasi penghargaan negara terhadap sumbangan ahli akademik di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sentiasa gigih dan komited dalam membangunkan modal insan negara ke arah pembangunan lestari negara.

Bertemakan ‘Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi”, Zambry berkata penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dapat merancakkan inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, dalam konteks pendidikan tinggi, AI dan pembelajaran dalam talian mengubah cara pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan tinggi.

“Dengan perubahan dalam dunia pendidikan yang begitu pantas, pendekatan pendidikan, kurikulum, kaedah-kaedah pedagogi dan peralatan dalam pendidikan juga berubah.

“Lantaran itu, saya menyebutkan kepada Naib Canselor di universiti-universiti untuk memikirkan bagaimana kita dapat berada dalam persaingan baru ini. Bukan hanya berada dalam persekitaran kita tetapi berada dalam persaingan di peringkat dunia, “katanya.

Dalam usaha menyokong inisiatif dan aspirasi dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia masa hadapan, KPT menganjurkan AKRI 2024 yang dibuka mulai 13 Jun hingga 12 Julai lalui.

AKRI 2024 bertujuan mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek serta inisiatif yang dilaksanakan.

Zambry berkata menerusi penganugerahan ini, ia akan menyuntik semangat, mencetus inspirasi seterusnya menjadi suri teladan terbaik kepada semua, khususnya dalam membentuk ekosistem pendidikan dan penyelidikan yang cemerlang.

“Bagi menyemarakkan semangat inovasi dalam aspek reka bentuk kurikulum dan penyampaian inovatif dalam kalangan saya menyeru supaya lebih ramai profesor terus memberikan sumbangan dalam Inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Seharusnya profesor adalah mentor yang dapat memberikan galakan kepada akademia muda dalam melakukan inovasi PdP,”katanya.

Oleh itu, Zambry berharap dengan ada inovasi dalam dunia pendidikan ini ia akan dapat membantu membentuk kurikulum dan kaedah penyampaian yang terbaik dalam universiti.

“Satu perkara yang sangat penting di sini ialah gunakanlah kepintaran itu (AI) yang tidak statik sifatnya, supaya kita dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajar kerana kreativiti di dalam pengajaran itu adalah sesuatu yang sangat-sangat mustahak,” katanya.

Penganjuran AKRI 2024 ini dilaksanakan dalam empat kategori iaitu Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif dan Pengalaman Pembelajaran Imersif yang terbahagi kepada tiga iaitu Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) dan Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka).

Tahun ini sebanyak 108 permohonan diterima dan semua permohonan atau pencalonan dinilai oleh Jawatankuasa Pemilih AKRI 2024. Daripada jumlah itu, seramai 27 finalis yang disenarai pendek melalui sesi pitching pada 17 Ogos lalu.

Bagi Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Johan di menangi oleh Johan Taylor’s University menerusi inisiatif Future-Ready Architects: Transforming Lives, Empowering Changemakers yang diketuai oleh Mohd Adib Ramli.

Naib Johan adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi inisiatif: Program Sarjana Muda Sains Citra diketuai Dr Zurina Mahadi dan tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan inisiatif: Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) Dengan Kepujian diketuai Dr Norashikin Ahmad.

Kategori Pengajaran Transformatif pula dimenangi Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menerusi inisiatif Alat Bantu Mengajar Untuk Menguasai Konsep Elektrik Melalui Kaedah Gamifikasi: ELECTRICO di ketuai Dr Siti Maisarah Aziz.

Naib Johan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan inisiatif Unifying P.S.I.: Learn-Create-Deliver for Educators (Dr Hamidah Idris) dan tempat ketiga Taylor’s University menerusi inisiatif Revolutionize Teaching and Elevate Meta-competencies using the THRIVE Model: Purpose-led Learning for a Sustainable Future (Dr ‘Aqilah Yaacob).

Kategori Pentaksiran Alternatif pula dimenangi oleh Universiti Malaysia Sabah menerusi inisiatif: Live Broadcast (LIB): Alternative Assessment Tool for Competent Radio Presenter (Dr. Intan Soliha Ibharim), kedua Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan inisiatif Integrated Assessment Approach in Enhancing Tertiary Learning Experience (Zuraimi Zakaria) dan ketiga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan inisiatif: From Pages to Presentations: DUAL-MODE Assessments with Peer Learning for Professional Readiness (Lena Ramamurthy).

Manakala bagi Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya, johan adalah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan inisiatif Engage and Learn: The Book-end Division Approach via Active Lightboard Virtual Education (ALIVE) (Nurul Wahidah Arshad) dan naik johan adalah UMS dengan inisiatif: VR Immersive Learning for Viruses and Virology by Using Signaling Principle (Dr Nur Azlina Mohamed Mokmin).

Untuk Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun pula, tempat pertama dimenangi Sunway University menerusi inisiatif Immersive Blended Learning with Game-based Innovation for Entrepreneurship Education in Large Classes (Yeong Hui Yan), kedua Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan inisiatif: Next-gen Learning: Integrating Escape Room, Social Media, and Online Forums for Immersive Database Mastery (Dr Chiu Po Chan) dan ketiga adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan inisiatif: GameBiz Challenge: Pendekatan Inovatif Pembelajaran Berasaskan Cabaran untuk Keusahawanan Permainan (Dr Laili Farhana Md Ibharim).

Manakala Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka dimenangi oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dengan inisiatif Connecting the Dots: Meaningful Immersive Structural Health Monitoring experiences via integration of Design Thinking and Augmented Reality through Problem Based Learning (Dr Zakiah Abd Halim).

Universiti Utara Malaysia yang diketuai Prof Mayda Dr Narentheren Kaliappen memenangi tempat kedua dengan inisiatif i3: Inquiry, Ideation & Implementation-Nurturing Tomorrow’s Leaders through International Business Service-Learning dan tempat ketiga kategori ini dimenangi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi inisiatif Adaptasi Identiti Senibina Tempatan ke Atas Projek Reka Bentuk “Pusat Integrasi Antara Generasi” yang diketuai Muhamad Hanafi Rahmat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top