am@hmetro.com.my
Butterworth: Seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, kerana mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis dengan kayu golf pada 11 Februari lalu, sekali lagi didakwa di mahkamah sama, hari ini, atas pertuduhan mencuri harta dalam bangunan.
Bagaimanapun, tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri harta dalam bangunan iaitu sebuah telefon bimbit jenama Oppo A79 milik seorang lelaki warga asing.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Sungai Nyior dalam daerah Seberang Perai Utara, jam 12.30 tengah malam, pada 15 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian, hendaklah dihukum dengan penjara serta boleh dikenakan denda atau sebat.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Semasa prosiding, Siti Nur Farihin menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun peguam YBGK yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum diberikan dengan alasan tertuduh yang juga seorang pemandu lori hanya memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dan menghidap asma.
Aini Adilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 7 April depan.
Media sebelum ini melaporkan, Zul Mazuwan Zulhilman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis menggunakan kayu golf pada 11 Februari lalu, sebelum lelaki itu dibebaskan dengan jaminan.
Lelaki itu juga yang mempunyai lebih 20 rekod lampau turut pernah didakwa atas kes persetubuhan luar tabii pada 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd




