PUTRAJAYA: Seawal pukul 3 petang, tiga keluarga dari Shah Alam, Selangor sudah ‘terpacak’ di Dataran Putrajaya bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang mendapatkan lokasi terbaik menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 esok pagi.
Rosmawati Mohemad Khalid, 37, bersama suami, Mohd Khairul Daud, 42, bersama dua anak mereka mengakui tidak sabar untuk menantikan detik sambutan Hari Kebangsaan esok.
Menurutnya, dia sekeluarga tidak kisah menunggu berjam-jam kerana mahu merasai sendiri kemeriahan sambutan terbesar negara bersama puluhan ribuan rakyat Malaysia yang lain.
“Kami sekeluarga bersama dua keluarga lain telah merancang lebih awal untuk datang beramai-ramai ke Putrajaya bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
“Kami sanggup datang awal kerana mahu mendapatkan tempat yang baik dan paling penting dapat menyaksikan sendiri perarakan secara langsung bersama keluarga,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Katanya, antara yang paling dinantikan pada sambutan kali ini ialah perarakan membabitkan pelbagai agensi serta persembahan yang menonjolkan semangat patriotik rakyat Malaysia.
Rosmawati berkata, suasana menyaksikan perarakan secara langsung jauh lebih meriah berbanding menontonnya menerusi televisyen atau media sosial.
“Perasaan memang sangat teruja dan bangga. Bila dapat lihat sendiri perarakan di depan mata, suasananya memang jauh lebih meriah dan menyentuh hati,” ujarnya.
Katanya, perkara paling istimewa pada sambutan Hari Kebangsaan ialah semangat perpaduan rakyat yang hadir daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk meraikan hari bersejarah itu bersama-sama.
Jelasnya lagu, ini merupakan kali kedua dia sekeluarga hadir ke sambutan Hari Kebangsaan dan tidak menolak untuk datang lagi pada masa akan datang sekiranya berpeluang.
“Perarakan pasukan keselamatan serta persembahan kebudayaan antara segmen yang paling menarik perhatian kerana mencerminkan kekuatan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Bagi saya, kemerdekaan bermaksud kita dapat hidup dengan aman, bebas dan bersatu sebagai satu keluarga Malaysia. Saya berharap Malaysia terus aman, maju dan stabil, manakala rakyat sentiasa hidup dalam keharmonian demi generasi akan datang,” katanya.
Katanya, dia telah membawa bekalan makanan secukupnya termasuk roti, air mineral dan makanan ringan untuk anak-anak sementara menunggu perarakan bermula esok pagi. – UTUSAN
