Hari malang buat Alison, kaki terhempas di papan anjal

Hari malang buat Alison, kaki terhempas di papan anjal

Paris: Atlet terjun Amerika Syarikat (AS), Alison Gibson tidak berjaya memulakan aksi saingan tiga meter papan anjal individu wanita dengan sempurna selepas terbabit dalam insiden ngeri selepas membuat lompatan.

Kakinya terhempas ke papan anjal semasa berada dalam posisi somersault pada terjunan pertamanya acara berkenaan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selepas dentuman kuat dan desahan dari penonton, Alison terjatuh dengan canggung ke dalam air, membuatkan percikan yang tidak dibanggakan oleh mana-mana penerjun.

Terjunan yang dilakukannya dianggap sebagai gagal dan dia meraih markah sifar.

Namun, Alison terus mencuba dan menyelesaikan empat terjunan yang tinggal dengan sebanyak mungkin ketenangan yang dapat dikumpulkan tetapi masih berakhir di tempat terakhir, menandakan perjalanan Olimpiknya menemui noktah.

“Tumit dan kaki saya terkena pada papan. Saya mengalami luka dan lebam di tumit kanan, tetapi bertekad untuk teruskan,” kata Alison yang kelihatan sedih kepada Reuters, dengan luka-lukanya masih segar di kedua-dua kaki.

“Sudah tentu, saya merasa sakit tetapi satu perkara yang saya katakan adalah saya harap sesiapa sahaja yang menonton dapat melihat bagaimana rasanya bangkit dan terus pergi walaupun keadaan tidak seperti yang diinginkan. Ia mengenai perjuangan.”

“Jelas sekali, hari ini tidak berjalan seperti yang saya inginkan. Tetapi saya rasa kita boleh belajar dan berkembang dari setiap pengalaman, dan saya benar-benar berharap generasi seterusnya memahami bahawa walaupun dalam saat-saat paling teruk, anda boleh terus berjuang, anda boleh berjalan dengan berani,” tambahnya.

Alison yang berusia 25 tahun hampir bersara selepas selesai di tempat terakhir di Tokyo 2020 tiga tahun lalu dalam acara tiga meter papan anjal seirama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top