
Laporan itu juga mendapati negara pulau kecil paling berisiko dan kurang bersedia menghadapi impak perubahan iklim. – Foto: Agensi
LONDON – Kira-kira empat bilion penduduk di seluruh dunia mengalami 30 hari tambahan suhu ekstrem sepanjang tahun lalu dek fenomena perubahan iklim.
Kajian terbaharu menunjukkan negara tropika paling terkesan keadaan cuaca sedemikian.
Penyelidik di World Weather Attribution berpusat di London, Climate Central di Amerika Syarikat (AS) dan Red Cross Climate Centre mendapati Indonesia serta Singapura merekodkan 99 hari tambahan panas melampau sejak Mei 2024.
Laporan itu juga mendapati Barbados, Haiti dan sejumlah negara dan wilayah Caribbean serta Kepulauan Pasifik mengalami lebih 120 hari tambahan panas ekstrem.
2024 merupakan tahun paling panas pernah direkodkan dan laporan tersebut meliputi gelombang haba luar biasa termasuk di barat daya AS (Jun), cuaca ekstrem di seluruh selatan Eropah (Julai) dan suhu panas melampau di Asia Tengah pada Mac lalu.
“Suhu kurang berubah-ubah di kawasan tropika berbanding latitud pertengahan (negara empat musim) yang bermakna trend perubahan iklim muncul dengan lebih jelas di zon tersebut,” ujar pegawai penyelidik di Imperial College London yang juga anggota World Weather Attribution, Clair Barners.
Menurutnya, negara pulau kecil adalah yang paling berisiko dan kurang bersedia untuk menghadapi impak perubahan iklim serta merekodkan hari tambahan gelombang ekstrem sepanjang tempoh penyelidikan tersebut.
“Hal ini kerana, lautan di sekelilingnya cenderung untuk memerangkap haba bagi tempoh yang lama dan mengekalkan suhu lebih tinggi pada bulan-bulan sebelumnya yang lebih sejuk,” jelasnya lagi. – Agensi
Info:
>Saintis mentakrifkan hari panas melampau sebagai keadaan apabila suhu harian melebihi 90 peratus purata sejarah untuk lokasi tertentu.
>Daripada 247 negara dan wilayah yang dianalisis di bawah kajian itu, jumlah lokasi yang mengalami hari tambahan suhu ekstrem adalah kawasan berhampiran Khatulistiwa.