Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar – Hajiji

Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar – Hajiji

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Sabah adalah bukti semangat kebangsaan rakyat Sabah untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekaligus tidak mengiktiraf sebarang

tuntutan luar ke atas negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk bersama-sama membentuk negara Malaysia.

“Hari Sabah yang diraikan bersama-sama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah hari yang sangat bersejarah. Ia adalah bukti semangat patriotisme orang Sabah untuk mendapat kebebasan daripada penjajah kerana Sabah adalah sebahagian daripada negara Malaysia.

“Masa depan Sabah terletak di tangan kita. Oleh itu marilah kita bersama-sama terutama generasi muda untuk menggembleng tenaga, berganding bahu, berusaha sebaik mungkin memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin menyempurnakan majlis pemasyhuran Sambutan Hari Sabah 2024.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Hari Sabah bukan hanya meraikan pencapaian tetapi juga menghargai dan mengenang kembali perjalanan panjang yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri pada hari ini sentiasa berusaha meningkatkan ekonomidan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63 atau perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” katanya.

Hajiji turut berkata kerajaan negeri akan terus mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan semangat gagasan Malaysia Madani yang menginginkan negara pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat global.

“Malah, hasil corak kepimpinan negeri yang mesra pelabur, ia menjadikan Sabah tumpuan pelabur asing dan domestik yang turut memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion merentasi pelbagai sektor pada tahun 2023 dan telah merekodkan hasil kutipan negeri hampir RM7 bilion pada tahun yang sama.

“Kini, kerajaan Sabah sedang meneroka potensi Ekonomi Biru membabitkan penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu serta produk yang boleh dihasilkan daripada industri itu.

“Penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai tambahan kepada sumber sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos diwartakan kerajaan negeri pada Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top