Harian Metro rangkul tempat ketiga infografik pegun AMP 2025

Harian Metro rangkul tempat ketiga infografik pegun AMP 2025

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Harian Metro memenangi tempat ketiga kategori infografik pegun pada Anugerah Media Pembinaan CIDB (AMP) 2025 sempena Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, malam ini.

Pengarang Berita Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Penolong Editor Grafik, Nor Salim Mohamed Dawam memenangi tempat ketiga menerusi tajuk Rumah Demi Kesejahteraan Rakyat yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.

Sementara itu, TV3 menang tempat ketiga menerusi tajuk Tragedi Paip Gas dan kedua bertajuk Rumah Modular Kediaman Masa Depan bagi kategori media penyiaran televisyen dan video dalam talian.

Anugerah ini merangkumi pelbagai kategori termasuk media cetak dan portal berita, penyiaran televisyen dan video dalam talian, radio, fotografi serta infografik dalam bentuk pegun dan video.

Bagi setiap kategori, pemenang akan menerima sijil penyertaan, trofi dan wang tunai iaitu RM5,000 bagi tempat pertama, RM3,000 bagi tempat kedua, RM2,000 bagi tempat ketiga dan RM1,000 sebagai sagu hati.

Hadiah disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top