Harimau bintang terlepas dari kandang, penduduk dilanda ketakutan – Utusan Digital

SHANGHAI: Tiga ekor harimau bintang dilaporkan terlepas dari sebuah taman safari di timur China hari ini, sekali gus menimbulkan ketakutan kepada penduduk setempat.

Namun, seekor daripadanya sudah berjaya ditangkap semula.

Penduduk di bandar Hangzhou mula ternampak kelibat haiwan tersebut di kawasan ladang teh pada minggu lalu.

Namun, Taman Safari Hangzhou hanya mendedahkan mengenai perkara itu selepas penampakan haiwan berkenaan menjadi tular dalam media sosial.

Taman tersebut menjelaskan tujuan utama mereka melengahkan pengumuman mengenai kejadian itu adalah kerana tidak mahu penduduk panik, selain kesemua harimau bintang itu belum ‘matang dan tidak berbahaya’.

Bagaimanapun, taman tersebut dikritik kerana gagal menguruskan penjagaan haiwan berbahaya sehingga boleh mengancam keselamatan manusia.

Sehubungan itu, lima individu yang mempunyai kaitan dengan taman tersebut, termasuk ketua pengarahnya ditahan pihak berkuasa dan polis giat melakukan siasatan.

Media tempatan melaporkan, satu pasukan dikerah untuk mengesan dua lagi harimau bintang berkenaan. – AFP

 

 

 

 

Scroll to Top