Harimau dipercayai membaham dua lelaki masuk perangkap

Harimau dipercayai membaham dua lelaki masuk perangkap

am@hmetro.com.my

Ipoh: Harimau belang yang dipercayai membaham dua mangsa masing-masing di Bersia, Gerik serta seorang warga Myanmar di Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini, berjaya ditangkap.

Tangkapan haiwan pemangsa itu yang memasuki perangkap disahkan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff.

Katanya, bagaimanapun maklumat lanjut berkaitan tangkapan itu akan diberikan oleh Pengarah Perhilitan Kelantan dalam masa terdekat memandangkan tangkapan dilakukan dalam kawasan Kelantan iaitu di Jeli.

“Ya, dapat (tangkapan) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah Perhilitan Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Yusoff berkata, Perhilitan Perak dan Kelantan bekerjasama bagi memasang perangkap di lokasi dikenal pasti bagi menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa.

Menurutnya, pihaknya melihat kemungkinan harimau yang menyerang kedua-dua mangsa adalah haiwan sama berikutan lokasi kejadian terletak berhampiran iaitu kira-kira empat kilometer melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli selain insiden berlaku dalam tempoh terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli pada Selasa lalu.

Mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah di leher dan kaki kiri.

Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik, Khamis lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top